Jangan pilih kasih, sasar pemimpin tertentu

SHAH ALAM - Kerajaan perlu membersihkan negara daripada pelakuan rasuah secara telus dan bukannya bersikap pilih kasih dengan menyasarkan pemimpin tertentu.

Felo Penyelidik Bersekutu, Institusi Analisis Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak berkata, menyiasat pemimpin politik yang namanya disebutkan di dalam Pandora Papers atau sumber lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) akan menimbulkan kesangsian rakyat.

Katanya, sudah pasti rakyat akan tertanya-tanya sama ada tindakan sebegini sesuatu yang normal dilakukan oleh mana-mana kerajaan termasuk di negara ini ataupun ada agenda politik tersirat.

“Secara umumnya, kita sangat mengalu-alukan tindakan kerajaan untuk membersih negara ini daripada gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa khasnya dalam kalangan pemimpin politik namun perlu dilakukan secara telus.

“Bagaimanapun, konsep transparency dalam politik bukanlah sekadar cetusan di bibir sahaja, tetapi mesti dibuktikan menerusi perbuatan yang betul dan bukannya secara pilih kasih,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang disiarkan Sinar Harian pada Selasa ada menyebut tentang kemungkinan ramai pemimpin politik terutama bekas Perdana Menteri bersara di penjara.

Beliau menyentuh seolah-olah jadi trend di Malaysia semua bekas Perdana Menteri mahu disiasat dan dihadapkan ke penjara, cuma yang bernasib baik Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn.

Sementara, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah pula tidak disiasat kerana beliau sakit.

Muhammad Afifi turut mempersoalkan sama ada tindakan itu dilakukan hanya semata-mata untuk membenarkan kata-kata yang telah diungkapkan dalam manifesto mereka bagi membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa?

“Semua soalan ini mesti dijawab sendiri oleh Perdana Menteri dan kerajaan Madani. Hal ini kerana kita dapati wujud percanggahan dari segi tindakan kerajaan terhadap mereka yang disyaki rasuah dan menyalahgunakuasa.

“Apakah sebenarnya yang cuba dibuktikan dengan tindakan sedemikian,” soalnya.

Sementara itu, Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berpendapat, buat masa ini sistem perundangan negara adalah antara yang terbaik di dunia.

“Jangan lihat sesuatu dari satu sudut sahaja, takkan Hakim Negara mahu berat sebelah, ini prinsip keadilan siapa yang buat salah mesti disiasat.

“Kita perlu yakin dengan perundangan negara, tiada pilih kasih, bukan orang politik pun ada juga didakwa,” jelasnya.