SHAH ALAM - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu tidak menganggap kedudukannya sebagai Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) terancam meskipun ada yang cuba menggugat jawatan tertinggi parti tersebut.
Bahkan, beliau tidak kisah kehilangan jawatan kerana sudah biasa menjadi ahli biasa parti.
"Tidak ada masalah. Saya sudah biasa menjadi ahli biasa, hulubalang Pas, dan timbalan presiden. Tidak ada masalah sekiranya ada yang cuba menggugat kedudukan saya sebagai Presiden. Peranan saya adalah berkempen dan memberi bantuan kepada parti selagi mampu
“Sekarang ini umur sudah mula meningkat, memang keletihan itu sedikit sebanyak sudah terasa. Itu perkara biasa yang kita perlu hadapi di dalam hidup,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, baru-baru ini.
**media[2456242]**
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja itu menyerahkan kepada perwakilan Amanah untuk menentukan kedudukannya serta memilih 27 individu yang bakal menjadi pemimpin parti tersebut.
“Terserah kepada perwakilan untuk memilih siapa yang akan memimpin untuk tiga tahun akan datang. Saya memberi ruang terbuka kepada mereka untuk memilih 27 individu (pemimpin parti) itu.
“Kemudiannya, 27 orang itu juga akan memilih siapa yang mereka mahu sebagai jawatan nombor satu, naib presiden dan sebagainya. Selagi sistem yang digunakan berada dalam suasana yang sihat, ia tidak menjadi masalah,” katanya.
Pada 22 hingga 24 Disember ini, nasib Mohamad Sabu sama ada bakal tercabar atau digantikan oleh tokoh lain akan terjawab pada pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah sesi 2023-2026 serentak penganjuran Konvensyen Nasional Amanah 2023.
Konvensyen bakal diadakan itu menggariskan para perwakilan memilih 27 orang dan kemudian dalam mesyuarat kumpulan ini bersama ketua Sayap Wanita, Pemuda dan Wardah (Wanita Muda) akan memilih dan memutuskan siapa menjadi presiden, timbalan dan sebagainya untuk memimpin Amanah bagi penggal hadapan.
Perlembagaan Amanah menetapkan seseorang hanya boleh menjadi presiden selama tiga penggal berturut-turut.
Jika Mohamad Sabu terpilih sekali lagi, ia merupakan penggal terakhirnya untuk mengetuai parti tersebut.
Tambahnya, biarpun belum berpuas hati dengan tahap perkembangan parti, beliau yakin Amanah selalu berusaha untuk dilihat sebagai parti yang berwibawa dan ada pendirian tersendiri.
**media[2456241]**
“Kadang-kala kita dilihat seperti dipengaruhi oleh orang-orang tertentu. Oleh itu, Amanah perlu membina identiti bersifat 'rahmatan lil alamin’, mempunyai pasukan yang terbaik dalam politik, pentadbiran, integriti dan sebagainya.
“Mungkin perkembangan kami agak perlahan tetapi kemasukan ahli baharu sentiasa ada. Oleh itu, kita perlu kepada penjelasan, keilmuan dan penerangan yang jelas sebab parti besar yang lain sudah ada seperti Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” ujarnya.
Mengulas tentang persiapan berkempen dan isu pelbagai pandangan berkaitan tokoh politik Amanah yang dijangka kekal atau gugur, Mohamad berkongsi, ianya perkara biasa yang harus ditempuhi setiap kali hari pemilihan dijalankan.
“Soal calon itu perkara biasa terutamanya dalam politik. Saya akui memang ada yang mahu individu tertentu berada di Top 5. Itu normal.
“Setakat ini, saya cuma pergi pejabat, bekerja, beri ceramah dan merasmikan majlis-majlis yang ada. Semua sudah maklum bahawa saya daripada mula bersama Amanah jadi tidak perlu untuk turun berkempen dan sebagainya,” jelasnya.
Mohamad yang sudah lapan tahun memimpin Amanah berpandangan, kriteria pasukan terbaik yang dimahukan dalam situasi politik masa kini adalah pasukan yang berbeza pandangan.
“Satu matlamat tetapi pandangan berbeza. Jadi, mesyuarat itu menjadi hidup. Sekiranya kita hanya ada satu pandangan, mungkin mesyuarat dalam 20 minit sahaja sudah selesai.
“Apabila berbeza pandangan walaupun satu matlamat, itu merupakan satu amalan yang sihat. Dalam Amanah selama ini mesyuarat agak bebas dari segi memberi pandangan dan itu menggembirakan saya,” katanya.
Turut berkongsi suka duka menjadi pemimpin dalam Amanah, Mohamad berkata, cabaran terbesar parti itu ketika ini adalah untuk mendapatkan sokongan orang Melayu selepas berada dalam komponen yang sama dengan DAP.
"Serangan-serangan itu masuk dalam fikiran orang Melayu dan menyebabkan kita nak rungkai fahaman atau stigma yang masuk dalam fikiran mereka itu amat sukar tetapi kita yakin ia tidak lama.
"Buat masa sekarang ini, sesiapa yang berkawan dengan DAP ini dianggap musuh Melayu dan Islam. Itu satu perkara yang kita kena hadapi dengan kesabaran, istiqamah dan penjelasan yang panjang. Ini yang kami perlu hadapi," katanya.