KOTA KINABALU - UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menyatakan kesediaannya untuk bergerak seiring dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) tidak lama lagi.
Kesediaan itu susulan daripada keputusan mesyuarat kepimpinan tertinggi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bersetuju memperkukuh kerjasama dalam menghadapi PRN17.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyambut baik dengan keputusan itu berkata, perlu diakui realiti politik hari ini menuntut kematangan dan keikhlasan dalam membina kestabilan sebuah negeri.
"Demi masa depan negeri, kita memilih untuk berganding bahu bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi untuk membina Sabah yang lebih baik dan terurus.
"Kerjasama ini akan dirunding dengan teliti oleh kepimpinan BN dan PH Sabah, termasuk soal pengagihan kerusi serta pendekatan bersama dengan mana-mana parti yang sehaluan.
"Kami menghormati proses ini dan akan memastikan setiap keputusan dimuktamadkan dengan semangat muafakat, seperti yang telah ditetapkan oleh kepimpinan tertinggi di peringkat kebangsaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau yang juga Pengerusi BN Sabah berkata lagi, pihaknya akan menggerakkan seluruh jentera dan akan memberi sepenuh komitmen dalam menghadapi PRN tersebut.
"BN Sabah akan menggerakkan seluruh jentera, dari peringkat negeri hingga akar umbi dengan komitmen 100 peratus fokus, disiplin, keikhlasan untuk menghadapi PRN17 sebagai satu pasukan yang bersatu, matang dan berwibawa.
"Kita bukan sahaja mahu menang, tetapi kita mahu menang dengan maruah dan mandat rakyat yang tulen," katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar berkata lagi, UMNO Sabah percaya bahawa kestabilan hanya dapat dicapai apabila kuasa digunakan dengan amanah dan politik dijalankan dengan adab serta matlamat yang jelas bukan untuk diri, tetapi untuk negeri juga.
"Kita telah belajar dari masa lalu dan hari ini kita bersedia untuk membina masa depan bersama.
"Demi Sabah, demi rakyat, kita bersatu. Kita matang, kita melangkah ke hadapan," katanya.
Sebelum itu, BN dan PH telah mencapai kata sepakat untuk menjalinkan kerjasama bagi menghadapi PRN17 Sabah dan perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat kepimpinan tertinggi pada Khamis.