Pinjam aura pemimpin besar

Bahang kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 kini mulai terasa apabila tempoh kempen mula memasuki fasa kritikal.  

Berbaki dua hari sebelum bermulanya proses pembuangan undi pada 20 November ini, kebanyakan calon bertanding semakin agresif mendekati pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Dalam situasi pandemik Covid-19 yang masih melanda Malaysia pada ketika ini, proses berkempen yang berlangsung dalam norma baharu jelas menimbulkan sedikit kesulitan bagi setiap calon khususnya calon baharu untuk mendekati pengundi.

Justeru, strategi yang jelas dan berkesan serta memaksimumkan penggunaan platform digital sebagai medan berkempen dilihat satu langkah ampuh bagi setiap calon menarik minat pengundi kawasan masing-masing.

Namun selain itu, aura dan imej dari tokoh besar parti juga amat ditagih oleh setiap calon dalam proses berkempen terutamanya melibatkan calon baharu dan kawasan 'kerusi panas'.

 

PN 'tonjolkan' Muhyiddin

Perikatan Nasional (PN) mengambil inisiatif 'menonjolkan' Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepanjang tempoh kempen PRN Melaka.

Dari perkongsian di media sosial, PN ‘meminjam’ aura bekas Perdana Menteri itu apabila watak ‘Abah’ Pengerusinya digunakan dalam kempen calon-calon parti tersebut.

Ahli parlimen Pagoh itu turun membantu kempen PN di Melaka antaranya di DUN Sungai Rambai yang ditandingi Muhammad Jefri Safry, dan di DUN Ayer Limau yang ditandingi Dr Nordina Abd Latif.

Walau bagaimanapun, terdapat dakwaan bahawa tindakan PN tersebut adalah kerana parti itu tidak yakin dengan calonnya sendiri.

Namun, Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tampil menafikan dakwaan tersebut sebaliknya menyifatkan tindakan itu membawa mesej jelas agar rakyat memilih PN yang telah membawa perubahan besar dalam negara sejak gabungan itu dibentuk dua tahun lalu.

Muhyiddin dalam satu muat naik terbaharu di laman sosial miliknya menunjukkan beliau sedang beramah mesra bersama-sama penduduk Melaka bersama calon PN bagi DUN Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

 

Anwar, Najib turun padang

Pakatan Harapan (PH) dilihat turut menggunakan pendekatan serupa apabila Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai kempen calon-calon PH di DUN-DUN tertentu.

Antara yang 'dibantu' Anwar adalah Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab di DUN Durian Tunggal, Datuk Gue Teck di DUN Kelebang, dan calon termuda, Farzana Hayani Mohd Nasir di DUN Sungai Rambai.

Tidak ketinggalan menggunakan strategi hampir sama adalah Barisan Nasional (BN) yang mempertaruhkan aura “Bossku” bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau dilihat berada dalam kempen calon-calon BN antaranya Leong Hui Ying yang bertanding di DUN Kesidang dan Datuk Ab Rauf Yusoh di DUN Tanjung Bidara.

Kehadiran dua tokoh politik yang mempunyai aura serta penyokongnya tersendiri itu merancakkan lagi suasana kempen PRN Melaka.

Dr Nordina Abd LatifMohd Sofi Abdul WahabLeong Hui YingPRN Melaka
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :