Pecutan terakhir kempen PRN Melaka

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 bakal tiba kemuncaknya dan tempoh kempen yang kini memasuki fasa kritikal pasti dimanfaatkan sepenuhnya setiap calon bertanding.

Berbaki dua hari sebelum proses pembuangan undi pada 20 November ini, semestinya pelbagai strategi dan kreativiti digunakan calon bagi memenangi hati rakyat Melaka.

Setiap saat yang ada dalam baki dua hari tempoh berkempen pada PRN kali ini diibaratkan seperti emas dan kebanyakan calon dilihat sudah mengubah corak berkempen.

Corak berkempen yang agresif jelas dapat dilihat apabila setiap parti menggunakan aura dan imej pemimpin parti masing-masing bagi membantu calon yang bertanding.

Tidak cukup dengan itu, ada juga dalam kalangan tokoh tertinggi parti turun padang melihat kawasan-kawasan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertemu dengan pengundi sambil mempromosikan calon bagi parti masing-masing.

Matlamatnya adalah untuk memastikan agenda dan aspirasi yang dibawa oleh calon dan parti dapat disampaikan ke setiap pelosok negeri Melaka dari kawasan bandar sehingga ke kawasan luar bandar.

 

Buat panggilan telefon

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) DUN Bukit Katil, Adly Zahari dilihat menggunakan pendekatan konvensional dengan menghubungi para pengundi di DUN tersebut melalui panggilan telefon secara rawak.

Beliau yang sebelum ini  mengedar risalah kempen dengan menaiki skuter elektrik dilihat masih menggunakan pendekatan yang sama, namun cara panggilan telefon secara peribadi dilihat lebih ‘straight forward’ dan dapat menyampaikan mesej dengan lebih jelas.

Melalui perkongsian di laman sosial, bekas Ketua Menteri Melaka itu menghubungi beberapa pengundi, bertanya khabar dan bertanya adakah mereka sudah divaksin dan akan turun mengundi pada 20 November nanti.

Kehangatan kempen pada hari-hari terakhir menjelang pembuangan undi turut dirasai Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memuat naik di laman sosial gambar beliau berlari-lari anak dengan keterangan “Pace 5 dah. Ada yang nak cabar ke?”

Apa yang menarik adalah hantaran tersebut disambut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz yang dikenali minat berlari marathon dengan komen “Saya tak turun Melaka tapi nanti balik KL boleh kita jogging sama, Datuk Seri.”

Anwar dilihat turun berkempen membantu calon-calon PH, antaranya Datuk Sofi Wahab di DUN Durian Tunggal, Datuk Gue Teck di DUN Klebang dan calon termuda, Farzana Hayani di DUN Sungai Rambai.

 

Kak Emy tak leka

Dalam pada itu, calon Perikatan Nasional (PN) DUN Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mesra dipanggil 'Kak Emy' dilihat giat bertemu pengundi di kawasannya antaranya di kedai-kedai makan ketika bersarapan pagi.

Ia perlu dilakukan memandangkan prosedur operasi piawai (SOP) tidak membenarkan pertemuan bersemuka di rumah-rumah.

Katanya, walaupun kebanyakan pengundi DUN itu mengenalinya, namun beliau tidak boleh leka dengan kelebihan tersebut.

Menurut timbalan menteri itu, pada fasa terakhir ini segala strategi perlu disusun dengan teliti untuk memastikan kemenangan berpihak kepadanya.

Optimis, beliau melihat maklum balas yang diterima daripada pengundi-pengundi adalah memberangsangkan.

"Jadi saat ini saya harus bertemu seramai mungkin pengundi seperti bersarapan di kedai-kedai makan kerana kita akur dengan SOP (prosedur operasi standard) tidak boleh bersemuka dengan pengundi di rumah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mohd Sofi Abdul WahabMas Ermieyati SamsudinGue Teckprn melaka
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :