Tiga bekas ketua Menteri Melaka dijangka menjadi tumpuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bermula hari ini.
Dengan pengalaman menerajui negeri yang terkenal dengan sejarah dan budaya sejak ratusan tahun itu, sudah pasti ia menjadi satu kelebihan kepada mereka untuk menawan hati pengundi.
Ramai ingin melihat sama ada mereka berjaya mempertahan kerusi masing-masing atau ditumbangkan pihak lawan.
Bekas Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu apabila hadir di Dewan Kompleks Japerun Lendu, Masjid Tanah untuk menyerahkan borang pencalonan beliau sebagai wakil Barisan Nasional (BN).
Beliau akan berdepan saingan saingan tiga penjuru daripada wakil Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) iaitu Mejar (B) Abdullah Mahadi (PN) serta Mohamad Asri Ibrahim (PH).
Sementara itu, persaingan sengit menanti Adly Zahari (PH) di DUN Bukit Katil apabila berdepan saingan empat penjuru termasuk seorang calon Bebas.
Enam penjuru di Asahan
Bekas Ketua Menteri Melaka itu bakal berdepan Timbalan Ketua UMNO bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Hasnoor Sidang Husin (BN), Ketua Pemuda Pas Melaka, Mohammad Al Hafiz Yahya (PN) dan Ahli Jawatankuasa Gagasan Piagam Rakyat, Abdul Hamid Mustapah (Bebas).
Seorang lagi bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron walau bagaimanapun tidak mempertahankan kerusi DUN Sungai Udang yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu apabila bertanding di kerusi DUN Asahan dalam PRN Melaka kali ini.
Sebaliknya beliau yang kini bertanding atas tiket PH bertanding di DUN Asahan dan bakal menyaksikan pertembungan enam penjuru apabila tiga calon Bebas turut menyerahkan kertas penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di Kolej Komuniti Selandar hari ini.
Tiga calon bebas tersebut ialah Azmar Abdul Hamid, Mohd. Akhir Ayob, dan Mohd Nor Salleh. Manakala, dua lagi calon kerusi DUN Asahan adalah dari BN, Fairul Nizam Roslan dan PN, Dhanesh Basil.
PRN Melaka diadakan susulan penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan PN Melaka terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu menyebabkan Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri.
Dalam PRN Melaka yang dijadualkan pada 20 November ini, sebanyak 112 calon bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN.