Mampukah Harapan kekal kuasa di Pulau Pinang?

GEORGETOWN - Bahang PRU14 semakin terasa seperti hangatnya beberapa kerusi Parlimen sekitar negeri ini yang memperlihatkan pertandingan sengit antara BN, Pas dan Pakatan Harapan (Harapan).

Meskipun Harapan atau sebelum ini dikenali Pakatan Rakyat (PR) mentadbir Pulau Pinang selama dua penggal, namun untuk mengekalkan kuasa di negeri ini tidak semudah yang disangka setelah Pas tidak lagi bersama gabungan itu.

Apabila parti Islam itu mengambil pendirian bergerak sendirian bersama Gagasan Sejahtera, sedikit sebanyak menjejaskan undi Harapan.

Penyertaan Bersatu buat kali pertama pada PRU14 juga tidak boleh dipandang ringan kerana parti serpihan Umno itu juga mempunyai kekuatan dan sokongan akar umbi yang ramai.

Senario politik ini sudah tentu akan memberi saingan sengit di beberapa kerusi Dun dan Parlimen yang dianggap kubu kuat BN dan Harapan, khususnya Permatang Pauh, Balik Pulau dan Tasek Gelugor.

Permatang Pauh dahulunya merupakan kubu kuat BN selama beberapa penggal dan pernah dimenangi Pas pada PRU 1978.

Percaturan politik BN pada ketika itu dengan meletakkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memenangkan semula BN pada 1982 hingga 1995 di Permatang Pauh.

Selepas tidak lagi bersama BN, pengaruh Anwar tetap kuat di Permatang Pauh apabila isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang bertanding atas tiket PKR.

Sejak 1999, Permatang Pauh dianggap kubu kuat Anwar dan PKR kerana parti lain gagal menewaskan pengaruh Anwar di situ, termasuk BN.

Bagaimanapun, Parlimen Permatang Pauh dijangka memberi saingan hebat apabila PKR, Pas dan BN masing-masing mahu merebut kemenangan di kerusi itu.

Persiapan BN di Permatang Pauh tidak kurang hebatnya kerana ramai masyarakat dahagakan perubahan dan pembangunan, ditambah pula dengan pelbagai projek pembangunan dijanjikan.

Penyertaan Pas dalam pertandingan tiga penjuru di Permatang Pauh juga tidak boleh dipandang ringan kerana parti itu mempunyai penyokong dan akar umbi yang ramai. Sejarah pada 1978 yang memenangkan Pas kemungkinan berulang kerana kawasan itu mempunyai bilangan pengundi Melayu yang ramai.

Di Parlimen Tasek Gelugor tidak kurang ‘hangatnya’ apabila kubu kuat BN itu bakal berdepan pertandingan tiga penjuru menentang Pas dan Bersatu. Parlimen itu pernah berdepan tiga penjuru pada PRU13 lalu dan memihak kepada BN.

Sebarang kemungkinan boleh berlaku di Parlimen Tasek Gelugor pada PRU14 nanti kerana rakyat setempat amat dahagakan pembangunan dan kemudahan infrastruktur.

Penyertaan Bersatu dengan meletakkan calon di Parlimen itu dijangka memberi saingan sengit kepada BN. Namun calon Pas juga tidak boleh dinafikan kerana turut mempunyai pengaruh tersendiri.

Pada PRU12, Pas tewas kepada BN dengan majoriti 4,547 undi dan berjaya mengurangkan majoriti undi kepada 3,042 undi (PRU13). Bermakna pencapaian Pas tidak boleh dipandang remeh.

Di Parlimen Balik Pulau juga bakal memberi saingan untuk BN mengekalkan kuasa apabila turut menjadi antara kawasan tumpuan Pas dan PKR.

Pada PRU12, PKR berjaya mencipta kejutan apabila menang di kubu kuat BN itu dengan majoriti 601 undi.

Bagaimanapun, pada PRU13 lalu BN berjaya merampas semula dengan majoriti lebih besar.

Kali ini, kawasan itu akan berdepan tiga penjuru apabila calon Pas juga mahu merebut kemenangan di situ.

Pelbagai kemungkinan boleh berlaku di Parlimen Balik Pulau, sama ada BN mampu mempertahankan kemenangan, atau PKR berjaya rampas kerusi itu atau Pas mencipta sejarah menawan kerusi terbabit.

#tigapenjuru

Anwar IbrahimWan Azizah Wan IsmailPulau Pinang PKR BN Permatang Pauh
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :