Muhyiddin tidak bersalah tolak Kerajaan Perpaduan - Marzuki

SHAH ALAM – Keputusan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa perbincangan dengan Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) merupakan tindakan yang tidak salah.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, ini kerana presiden bertindak mengikut dasar parti untuk tidak bekerjasama dengan DAP.

Menurutnya, malah turut bersama Muhyiddin dalam sesi menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mana dasar parti itu juga tidak membenarkan kerjasama dengan DAP.

“Sekiranya tindakan yang dilakukan oleh Muhyiddin adalah salah, sudah tentu PN akan kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri 2023.

“Tetapi faktanya tidak, PN menang besar di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. PN juga hampir menang di Selangor, iaitu negeri kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

“PN turut membuat kemasukan signifikan (‘inroads’) di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Ini kerana sebahagian besar pengundi Melayu yang menyokong UMNO dalam PRU15 telah beralih arah menyokong PN dalam PRN 2023,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Muhyiddin membuat keputusan menolak cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 tanpa perbincangan dengan Majlis Tertinggi (MT) PN.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, keputusan itu dibuat segera oleh Muhyiddin di hadapan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selepas beberapa ketua parti termasuk Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadap baginda di Istana Negara pada 22 November 2022.

Tambah Marzuki, melihat kepada apa yang berlaku terhadap UMNO, penolakan cadangan membentuk kerajaan dengan DAP merupakan suatu ijtihad politik yang betul.

Jelasnya, mereka yang mempersoalkan keputusan ini mungkin terdiri daripada individu yang tidak sabar hendak menjadi kerajaan.

“Kerjasama dengan DAP pun boleh, langgar dasar parti pun boleh, asalkan jadi kerajaan. Bagi mereka, kuasa adalah segala-galanya ‘by hook or by crook’, mesti dapatkan kuasa.

“Machiavelli kata ‘the end justifies the means’. Ya, mereka adalah pengikut Machiavelli.

“Dalam dunia politik hari ini, tidak salah menjadi pengikut Machiavelli. Malah ramai yang menganut ajarannya sama ada secara sedar atau tidak,” ujarnya.

Beliau berkata, ada juga yang memaklumkan bahawa presiden mesti direhatkan kerana kononnya itu adalah syarat yang dikenakan oleh parti-parti dalam kerajaan sekarang untuk menerima Bersatu membentuk kerajaan bersama mereka.

“Entah ya, entah tidak. Mereka berkehendakkan kuasa dan ia mesti berlaku sekarang. Buatlah apa cara sekalipun asalkan dapat kuasa.

“Tetapi segelintir orang ini mungkin tidak menyedari akan perubahan landskap politik pilihan raya yang sedang melanda negara secara konsisten.

“Sejak hampir dua dekad lalu, menjadi kerajaan tidak menjamin kelebihan dalam pilihan raya. Kerajaan yang ada hari ini pun tidak popular dan berkemungkinan kalah dalam pilihan raya. Jadi, janganlah gelojoh sangat,” ujarnya.