Ibu rayu PM, kerajaan selamatkan anak di Myanmar

Chon Siang (kanan) bersama Haniza ketika sidang media di Pejabat Khidmat DUN Teruntum, Kuantan.

KUANTAN - Seorang ibu mengakui runsing memikirkan nasib dan keselamatan anak lelakinya yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang serta penipuan kerja di luar negara sejak tiga bulan lalu.

Ibu malang yang mahu dikenali sebagai Haniza, 52, berkata, mereka sekeluarga kini buntu mencari kaedah untuk menyelamatkan anaknya berusia 26 tahun itu, dipercayai berada di Myanmar.

"Kami sekeluarga sudah tidak tentu arah selepas mendapat tahu perkara ini (anak menjadi mangsa sindiket).

"Jadi, saya merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kementerian Luar dan polis agar membantu membawa pulang anak saya dan lima individu lain yang menjadi mangsa sindiket di sana (Myanmar)," katanya ketika mengadakan sidang akhbar di Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang.

Bercerita lanjut, Haniza berkata, anaknya itu pernah memberitahu kakaknya bahawa dirinya sedang menguruskan urusan pasport untuk memohon kerja di Singapura pada 7 September tahun lalu.

Katanya, sejak dari itu, tiada sebarang khabar berita yang diterima daripadanya.

Bagaimanapun pada 30 Oktober tahun lalu, Haniza berkata, anak lelakinya itu telah menghubungi untuk bertanya khabar ahli keluarga, namun tidak menyatakan lokasi keberadaannya.

"Kami puas mencari dan bertanya kepada rakan dan saudara mara, sehingga ke saat ini kami sekeluarga masih gagal menghubunginya.

"Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat kerana bimbang keselamatannya, sekali gus bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan keberadaannya," ujarnya yang datang dari Setiu, Terengganu.

Sementara itu, Chon Siang berkata, waris mangsa mengetahui perkara terbabit selepas dimaklumkan beliau beberapa hari lalu.

Menurutnya, pemakluman itu dibuat selepas anak lelaki Haniza telah menghubunginya dan meminta supaya membantu membawa pulang ke tanah air bersama lima lagi mangsa.

"Saya seterusnya hubungi ahli keluarga dan mereka terkejut apabila mengetahui anaknya menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan tawaran pekerjaan.

"Kita perlu satu laporan polis dibuat oleh keluarga mangsa bagi membolehkan misi menyelamat dilakukan menerusi kerjasama daripada pihak berkuasa luar negara," jelas beliau.

ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :