KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) dijangka mengumumkan senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah dalam tempoh dua minggu lagi.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, ketika ini proses rundingan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih berjalan.
“Kita perlu selesaikan agihan kerusi terlebih dahulu, barulah boleh umumkan senarai calon.
“Hal ini kerana berlaku pertindihan bagi beberapa kerusi,” katanya semasa sidang akhbar ketika ditemui selepas Ceramah Umum Sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kelantan dan 35 Tahun Membangun Bersama Islam di Pengkalan Chepa, di sini pada malam Sabtu.
Menurut beliau, langkah itu bagi mengelakkan Pas daripada tersalah meletakkan calon sekiranya agihan kerusi belum diselesaikan sepenuhnya.
Sinar Harian pada 12 Oktober lalu melaporkan, PN menyasarkan untuk bertanding di 36 daripada 73 kerusi pada PRN17 Sabah nanti.
Menurut Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, jumlah tersebut menunjukkan hasrat gabungan itu untuk mentadbir negeri berkenaan.