Rakaman audio mirip MB Perlis: Pas serah kepada polis siasat

KOTA BHARU – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berkaitan rakaman audio yang didakwa mirip suara Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dipercayai mendedahkan perihal campur tangan Istana Arau dalam hal ehwal pelantikan ketua jabatan di negeri itu.

Beliau sebaliknya berkata, rakaman tersebut masih belum didengarnya dan beliau tidak dapat memberikan sebarang reaksi lanjut.

“Saya hanya dengar orang bercakap, tapi masih belum mendengar sepenuhnya rakaman itu. Betul atau salah, saya sendiri tidak pasti.

“Zaman AI (kecerdasan buatan) ini bukan boleh diambil kira,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung isu berkenaan.

Terdahulu, beliau menyampaikan Ceramah Umum Sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kelantan dan 35 Tahun Membangun Bersama Islam Peringkat Kawasan Pengkalan Chepa, di sini pada malam Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung video yang mengandungi audio suara individu mirip Mohd Shukri, yang tular di TikTok, dipercayai mendedahkan perihal campur tangan Istana Arau dalam hal ehwal pelantikan ketua jabatan di negeri itu.

Ia susulan satu laporan polis yang dibuat oleh Pemuda UMNO Perlis semalam, yang mendakwa audio tersebut berunsur fitnah, penipuan dan penghinaan terhadap Raja Perlis serta Raja Perempuan Perlis.

Menurut Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi, pihaknya mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.