Sekolah luar bandar juga perlu tambahan kelas prasekolah

Laporan Sinar Harian pada Selasa. (Gambar kecil: Farid)

NIBONG TEBAL - Jangan hanya melihat keperluan menambah kelas prasekolah di kawasan bandar sahaja sebaliknya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga perlu mengenal pasti beberapa lokaliti sekolah luar bandar yang perlu diberi perhatian.

Ketua Penggerak Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) Seberang Perai Selatan, Farid Suwardi berkata, penambahan kelas prasekolah di kawasan luar bandar juga amat diperlukan bagi menampung peningkatan jumlah murid di sesetengah kawasan.

Mengambil contoh isu yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Mahat baru-baru ini, beliau berkata, sekolah terbabit hanya menempatkan tiga kelas prasekolah sahaja yang boleh memuatkan 75 murid seperti ditetapkan dalam garis panduan KPM.

Bagaimanapun katanya, bagi sesi persekolahan baharu yang akan bermula beberapa bulan lagi pihak sekolah telah menerima lebih 90 permohonan untuk kemasukan murid prasekolah baru-baru ini.

"Tidak dinafikan kebanyakan ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke prasekolah di bawah seliaan KPM kerana bukan sahaja ia menyediakan sistem asas pembelajaran yang lengkap dan berkesan malah dapat menjimatkan perbelanjaan.

"Disebabkan permohonan yang diterima melebihi kapasiti murid yang ditetapkan, pihak sekolah tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membuat tapisan bagi memilih murid yang benar-benar layak untuk mengikuti kelas prasekolah di sini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Farid yang juga Yang Dipertua SK Permatang Tok Mahat itu berkata, dengan peningkatan kos sara hidup dan keadaan ekonomi yang tidak menentu sudah pastinya ibu bapa memilih untuk berjimat dengan menghantar anak-anak mereka di prasekolah kerajaan.

Menurutnya, untuk menampung jumlah murid prasekolah yang semakin bertambah sudah pasti penambahan kelas perlu dibuat oleh KPM.

Bagaimanapun katanya, masalah ruang yang terhad dan tiada tempat yang sesuai untuk membuka kelas baharu antara isu yang dihadapi sekolah berkenaan melainkan pihak KPM membina struktur bangunan baharu untuk menempatkan semua kelas prasekolah.

Sementara itu, dalam perkembangan sama Farid berkata, penyediaan sistem pendidikan prasekolah yang diwujudkan KPM sejak 1992 berjaya memastikan kemenjadian murid seawal usia 5 dan 6 tahun.

Jelasnya, dengan tenaga pengajar yang berpengalaman, silibus pembelajaran lengkap serta pendedahan awal pengurusan diri yang baik menjadi antara faktor ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke prasekolah kerajaan daripada membelanjakan yuran lebih tinggi sekiranya menghantar ke taman didikan (Tadika) swasta.

Sehubungan itu, beliau berharap isu melibatkan pendidikan awal kanak-kanak ini dapat ditangani oleh kerajaan khususnya KPM sekali gus meringankan beban ibu bapa.

"Jangan disebabkan isu ini berlarutan menyebabkan ada dalam kalangan ibu bapa tidak menghantar anak-anak mereka untuk mendapat pendidikan sewajarnya. Nak dihantar ke swasta tidak mampu namun permohonan untuk masuk ke prasekolah kerajaan pula ditolak.

"Akhirnya anak-anak yang menjadi mangsa hingga menyebabkan mereka ketinggalan, tidak boleh membaca dan mengeja malah tidak dapat bergaul dengan baik bersama rakan-rakan seusia mereka," ujarnya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan KPM sedang mengkaji keperluan untuk menambah prasekolah dan tadika kendalian kerajaan di kawasan-kawasan bandar.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM juga sedang dalam usaha untuk menambah dan mempercepat sebarang dasar yang terkait rapat dengan sekolah.

"KPM melihat perkara tersebut. Sebenarnya ketika ini kita sedang melihat keutamaan kita untuk menambah prasekolah.

"Kita telah berbincang dengan Ketua Setiausaha (KSU) bahawa ada keperluan ketika ini untuk kita melihat dan menambah dasar yang terkait rapat dengan sekolah dipercepatkan," katanya.

ENDS.