KUALA TERENGGANU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya parti itu tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Rozi Mamat sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu dalam kenyataan pada Ahad menjelaskan, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pimpinan negeri berhubung perkara tersebut seperti yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Menurut kenyataan itu, PKR Terengganu menegaskan pihaknya menyokong penuh pelantikan Rozi dan mengucapkan tahniah atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau.
"Tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pimpinan negeri berhubung perkara tersebut. Sebaliknya, kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Rozi atas pelantikan beliau.
"Kami berharap Datuk Rozi dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah demi kemajuan rakyat serta pembangunan kawasan Ketengah," jelas kenyataan itu.
MPN PKR Terengganu turut menolak sebarang usaha atau kenyataan berunsur provokasi yang cuba menimbulkan perpecahan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan di negeri ini.
“Kerjasama erat antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan menjadi bukti bahawa politik berasaskan perpaduan dan kestabilan mampu menjadi alternatif sebenar untuk rakyat Terengganu.
"Kami kekal komited memperkukuh semangat ini dan menolak politik adu domba serta fitnah," katanya.
Sebelum ini, Rozi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu dilantik sebagai Pengerusi baharu Ketengah berkuat kuasa 1 November menggantikan Datuk Seri Ahmad Said yang tamat tempoh perkhidmatan pada Mei lalu.
Pelantikan tersebut diumumkan secara rasmi menerusi laman sosial agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada Sabtu.
Menurut Ketengah, pelantikan Rozi diyakini mampu memperkukuh hala tuju strategik agensi itu dalam memacu kemajuan sosioekonomi serta pembangunan mampan di wilayah Terengganu Tengah.
“Dengan pengalaman luas, kepimpinan berwibawa dan komitmen tinggi yang dimiliki beliau, Ketengah yakin pelantikan ini akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” menurut kenyataan agensi itu.