SHAH ALAM - Rombakan Kabinet yang dikatakan bakal dilakukan dalam masa terdekat diramal bukan satu rombakan besar tetapi lebih bersifat strategik dan terarah bagi memperkukuh koordinasi dasar serta kecekapan penyampaian kerajaan.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, tujuan dan tumpuan utama Perdana Menteri barangkali mahu memantapkan kementerian strategik seperti ekonomi, pelaburan, pendidikan, pelancongan dan alam sekitar iaitu bidang yang menjadi ukuran keberkesanan Kerajaan Madani.
Katanya, rombakan itu juga perlu dilihat dalam konteks penyediaan Kabinet menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memperkukuh pasukan utama menjelang tempoh dua tahun terakhir penggal ini.
“Spekulasi rombakan ini dilihat berlaku susulan peletakan jawatan beberapa menteri dan tamat tempoh tugas Ahli Dewan Negara yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Maka sedikit pelarasan perlu dibuat. Ia mungkin turut libatkan pertukaran portfolio dalam kalangan menteri sedia ada.
“Selain itu, ia juga memberi kesempatan untuk menampilkan gabungan individu berpengalaman, teknokrat dan tokoh muda agar dasar dapat dilaksanakan lebih pantas dan meyakinkan. Jadi timbul juga persoalan apakah akan ada gabungan kementerian ekonomi dan kewangan selepas ini?” katanya kepada Sinar Ahad.
Pada Jumaat, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memberi bayangan bahawa rombakan Kabinet akan berlaku dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.
Berucap di Majlis Penutup Festival Idea Putrajaya (FOI), Zambry mengharapkan sokongan Anwar untuk penganjuran festival berkenaan bagi tahun-tahun akan datang meskipun nasib beliau sebagai Menteri Kabinet tidak diketahui.
Untuk rekod, Zambry bersama Tengku Zafrul dan dua lagi menteri yang dilantik dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa pada 3 Disember 2022 dengan lantikan senator.
Dengan tempoh tugas Tengku Zafrul yang akan berakhir pada bulan depan, setakat ini tiga kementerian dijangka terlibat dengan rombakan iaitu selain Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, ia turut membabitkan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Ia susulan peletakan jawatan kedua-dua Menterinya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad masing-masing berkuat kuasa pada Jun dan Julai lalu.
Bagaimanapun sekiranya ada pertukaran lebih luas, Sivamurugan berpandangan, ia mungkin membabitkan kementerian yang berkait langsung dengan kesejahteraan rakyat dan prestasi ekonomi tetapi beliau yakin ia tetap lebih kepada penyusunan semula dan bukan pengguguran politik.
“Ia kerana Perdana Menteri perlu memastikan keseimbangan antara prestasi, kecekapan dan kestabilan terutama menjelang fasa penting pentadbiran ketika ini.
“Kedudukan Tengku Zafrul barangkali sesuai sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf Menteri di Pejabat Perdana Menteri supaya kepakaran beliau masih digunakan,” ujarnya.
Senada dengan Sivamurugan, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan mengandaikan rombakan yang bakal berlaku kali ini bersifat sederhana dan tidak menyentuh kedudukan Kabinet secara keseluruhan.
Implikasi
Menurutnya, implikasi daripada rombakan itu akan membantu Kerajaan Madani pimpinan Anwar untuk terus mengukuhkan kedudukan dan kepimpinan serta menguatkan lagi pertalian politik bersama rakan-rakan di dalam Barisan Nasional (BN).
“Saya berpendapat rombakan ini untuk mengisi kekosongan portfolio Menteri kerana jawatan-jawatan tersebut merupakan posisi yang sangat kritikal.
“Sebab itu ia perlu diisi dengar kadar segera bagi mengelakkan bebanan tugas yang semakin bertambah,” kata beliau.
Di samping untuk memperkukuhkan kementerian, Ariff Aizuddin berkata, penstrukturan berkenaan berkemungkinan akan menyaksikan siri pertukaran membabitkan kementerian yang selalu terpalit dengan isu-isu besar, hangat dan sering kali jadi tumpuan di peringkat nasional.
Katanya, logik daripada jangkaan terbabit adalah untuk mewujudkan prestasi yang efektif dan untuk meningkatkan tahap kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan.
“Saya menjangkakan bahawa kementerian dan juga portfolio pendidikan menjadi salah satu kerusi panas dalam konteks kedudukan Kabinet terutama sekali di dalam kerangka semasa kerana terdapat pelbagai isu melibatkan murid-murid di sekolah terutama sekali seperti kes buli.
“Dalam kes buli ini, orang ramai menaruh harapan yang tinggi agar pihak kerajaan dapat menyelesaikan isu ini.
“Oleh itu, tidak mustahil sekiranya Perdana Menteri memutuskan untuk merombak portfolio berkenaan,” ujarnya.