DUN Tioman: 500 hadir saksikan ceramah BN-PH

KUANTAN - Kira-kira 500 orang memenuhi kawasan lapang Pasar Besar Rompin bagi mengikuti ceramah sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang julung kali membabitkan dua parti politik dulunya berseteru iaitu BN dan Pakatan Harapan (PH).

Tiga pemimpin terlibat ialah Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari yang sebelum ini bermusuhan kini mampu berada di pentas sama untuk berkempen.

Walaupun ceramah bermula jam 8.30 malam, namun orang ramai sanggup datang awal untuk mendapatkan posisi terbaik bagi mengikuti ceramah yang disampaikan.

Mereka yang datang dari segenap pelosok daerah ini dilihat bersemangat memberi sokongan berdasarkan keyakinan angin perubahan politik selepas parti terbabit bergabung membentuk Kerajaan Pahang.

Turut kelihatan, Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong, Fadzli Mohd Kamal dan

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali

Wan Rosdy ditemani Mohamad dan Amirudin mengambil masa beramah mesra dengan pengunjung yang selama 20 minit sebelum naik ke pentas.

Ceramah secara bersama diadakan selepas PH yang mengambil keputusan memberi laluan kepada calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain dalam pemilihan pada DUN Tioman pada 7 Disember ini.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd Hatta Md. Ramli berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan peringkat negeri dan nasional yang dimeterai antara Pakatan Harapan (PH) dengan BN.

Keputusan PRU15 menyaksikan BN memperoleh 16 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 dan lapan kerusi dimenangi PH.

SPR mengumumkan PRU15 bagi DUN Tioman yang ditangguhkan susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu, diadakan pada 7 Disember ini,

Calon PH Mohd Fadzli Mohd Ramly mencabar calon BN, Mohd Johari dan tiga lagi dari calon PN, Nor Idayu Hashim, Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.