KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memihak kepada Sabah dalam tuntutan hak menerima 40 peratus hasil bersih yang dikutip kerajaan Persekutuan dari negeri itu pada dasarnya memberi tekanan kepada parti membentuk Kerajaan Perpaduan.
Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, keputusan mahkamah itu mengkehendaki kerajaan Persekutuan membayar 40 peratus hasil daripada Sabah sebagaimana termaktub dalam Perkara 112(C) dan 112(D) Perlembagaan Persekutuan.
“Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara sebagaimana dinyatakan secara jelas dalam Perkara 4(1).
“Itu yang disuarakan selama ini sebagai hak Sabah yang dinafikan oleh kerajaan Persekutuan selama ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.
Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid yang menyifatkan pemberian khas antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah sebagai ‘tidak sah, ultra vires dan tidak rasional’ serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Kuok Tiung berkata, keputusan tersebut dijangka membuka ruang kepada ramai politikus untuk memainkan naratif mengembalikan hak Sabah sebagai modal politik menjelang pilihan raya negeri.
“Setiap kali menjelang pilihan raya akan ada pihak yang menabur janji untuk menghormati dan menunaikan hak-hak Sabah. Disebut juga kononnya mana-mana hak yang terambil sama ada sengaja atau tidak akan dikembalikan.
“Tetapi tindakan sebenar mereka, sama ada dilakukan atau tidak, boleh dinilai rakyat,” jelasnya.
Menurutnya, kini pelbagai pihak termasuk parti nasional dilihat cuba mengaitkan diri dengan keputusan itu dan mendakwa ia hasil usaha mereka.
“Ada juga pihak yang seolah-olah ‘ketinggalan bas’, cuba cherry-pick kisah tertentu untuk memperlekehkan peranan dan komitmen kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) serta cuba menuntut kredit untuk diri mereka,” ujarnya.
Kuok Tiung berkata, ada juga pihak berkenaan yang sekadar hadir ke mahkamah atau membuat kenyataan media bagi menunjukkan kononnya mereka turut memperjuangkan isu berkenaan.
“Matlamat mereka lebih kepada mengambil gambar untuk dijadikan bahan kempen dan ditularkan di media sosial bagi memberi gambaran seolah-olah mereka turut terlibat sedangkan kehadiran itu hanya sebagai penonton,” tambahnya.