kerusi panas dun ladang idaman ramai

KUALA TERENGGANU - Adun Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar mengakui kerusi Dun Ladang ‘panas’ dan menjadi idaman ramai, berbanding kerusi lain di Parlimen Kuala Terengganu.

Bagaimanapun katanya, beliau yakin Pas masih mampu mengekalkan kerusi berkenaan buat tiga penggal berturut-turut walaupun sejarah beberapa PRU sebelum ini, Pas hanya menang dengan majoriti tipis.

Beliau yang kembali mendapat kepercayaan Pas untuk terus mempertahankan kerusi itu berkata, Pas mempunyai rekod yang baik dan percaya, pengundi bijak menilai.

“Ramai yang mengidam nak dapatkan Ladang sebab di Kuala Terengganu, yang mudah sikit adalah di Dun Ladang. Wakaf Mempelam dan Batu Burok susah katanya, dan memang mereka merancang untuk menang.

“Tapi, kami (Pas) juga merancang dan ada rekod yang baik. Kalau mereka (BN) kata banyak lawat kawasan, kami dah melawat hampir 370 kali dalam tempoh lima tahun ini. Kita ada rekod. Maknanya, sejak menang sehingga sekarang, kita tidak berhenti lagi masuk kampung,” katanya.

Dalam PRU13, beliau berjaya menewaskan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan majoriti 924 undi manakala pada PRU12, beliau menewaskan Datuk Wan Hisham Wan Salleh dengan majoriti tipis, 31 undi.

Jelas Tengku Hassan, uniknya Dun Ladang ialah pada PRU13 lepas, Pas berjaya menang di kesemua unit peti undi (UPU) dan hanya tewas di tujuh saluran daripada keseluruhan 40 saluran mengundi yang ada.

“Alhamdulillah, orang masih perlukan kita (dicalonkan kembali). Perjuangan belum selesai, jadi misi saya adalah untuk meneruskan perjuangan untuk tumbangkan BN.

“Saya yakin rakyat bijak menilai wakil mereka. Di pihak saya sendiri, kami akan berusaha keras memastikan Pas akan tetap mempertahankan kerusi Dun Ladang dan terus menjadi kubu kami,” katanya.
 

Tengku Hassan Tengku OmarKuala TerengganuPASLadang
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :