PADANG Serai- Semua parti bertanding ketika ini masing-masing sedang bersiap sedia untuk membuat ‘serangan’ bagi memastikan calon yang dipertaruhkan menang pada PRU14.
Padang Serai antara kawasan yang boleh dikatakan kawasan saingan antara Pas dan Harapan kerana masing-masing pada PRU dulu telah berjaya pertahankan kedudukan di kerusi yang bertanding ketika berada dalam satu perikatan.
Bagaimanapun, perpecahan parti Melayu di negara ini iaitu Pas dan Umno sehingga wujudnya parti baharu Amanah dan Bersatu akan sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada keputusan PRU kali ini.
Parlimen Padang Serai di bawahnya terdapat Dun Lunas dan Merbau Pulas yang masing-masing mempunyai peratusan kaum berbeza termasuk dari segi demografinya.
Dun Lunas lebih banyak pekan-pekan kecil dan sedang membangun yang sudah pasti peti undi kawasan itu lebih seimbang antara kaum Cina, Melayu dan India manakala Merbau Pulas lebih tertumpu di kawasan kampung-kampung di mana terdapat lebih ramai pengundi Melayu.
Jika PRU lalu Pas dan PKR berada dalam satu perikatan pembangkang namun kali ini keduanya sudah mengambil haluan masing-masing sekaligus secara tidak langsung akan menentang antara satu sama lain.
Pas telah sepakat meletakkan muka baharu di Parlimen Padang Serai yang juga seorang yang berpengaruh di Hi-Tech Kulim suatu ketika dulu iaitu Muhammad Sobri Osman,58 bagi menentang calon PKR dari Harapan dan MCA dari BN.
Bagi calon MCA kemungkinan kerusi itu akan ditandingi Datuk Dr Leong Yong Kong iaitu Exco kerajaan negeri yang juga penyandang Dun Gurun, namun pengundi Melayu sudah pasti tidak sesekali memberi undi kepadanya memandangkan beliau bertegas menentang hudud.
Manakala bagi Dun Lunas, Pas sekali lagi percaya dan yakin dengan calon muka baharu Ahmad Taufik Baharum, 55 iaitu seorang peguam untuk merebut kerusi di kawasan itu dari PKR dan turut ditandingi calon dari MIC.
Namun di Dun Merbau Pulas, Pas meletakkan penyandang terdahulu Datuk Dr Siti Asyah Ghazali yang juga Ketua Muslimat Pas Kedah bagi menentang Abd Razak Salleh dari Amanah dan calon dari Umno.
PKR hadapi tekanan?
Dua kerusi Dun Lunas dan Parlimen Padang Serai telah menjadi kerusi keramat PKR kerana selama dua penggal mereka telah berjaya pertahankannya.
Namun adakah kemenangan itu dapat dipertahankan? Adakah pengundi hanya melihat lambang atau logo daripada melihat calon yang diletakkan pada PRU14 ini?
Walaupun parti-parti bertanding mengambil pendekatan berkempen kepada penyokong supaya memilih logo bukan calon namun ia hanya relevan untuk muka baharu dan mempunyai trek rekod yang baik.
Jika calon berulang, rata-rata rakyat akan melihat calon yang boleh memperjuangkan nasib mereka dan berkemungkinan akan membuat undi rosak atau memangkah parti alternatif lain termasuk Pas.
Stigma ini bertambah kuat apabila Ketua Bersatu Bahagian Padang Serai, Khairul Anuar Ramli dalam kenyataannya turut berkata pengundi di kawasan itu tidak mahukan orang luar sebagai calon di Parlimen Padang Serai.
Ini sedikit sebanyak memberi pembayang supaya PKR tidak terus meletakkan Naib Presiden PKR, N Surendran di kawasan itu semula jika tidak mahu rakyat memangkah parti lain terutama Pas.
Kesukaran rakyat menerima semula calon berulang PKR ini kerana mereka hilang kepercayaan terhadap calon tersebut yang tidak membantu menyelesaikan masalah dihadapi sepanjang berada di bawah kuasanya.
Begitu juga Dun Lunas, penyandang yang juga Ketua AMK Kedah, Azman Nasaruddin mungkin akan terus diletakkan sebagai calon oleh parti itu namun rungutan demi rungutan sering meniti di bibir pengundi mengenai masalah setempat yang banyak tidak diselesaikan, sekaligus memberi gambaran mereka akan menolak calon berulang dari PKR di situ.
PRM jadi alternatif
Selepas 20 tahun, muncul pula Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang membuat keputusan untuk bertanding di kerusi Parlimen Padang Serai.
Namun senario politik tanah air menafikan kewujudan parti picisan ini memainkan peranan dalam penentu kemenangan parti besar lain yang juga sebagai pemecah undi.
Jika rakyat tidak suka calon berulang dari PKR dan tidak suka calon MCA dari BN dan calon Pas, PRM akan menjadi alternatif kepada mereka bagi mengelakkan undi rosak dan boleh muncul pemenang.
Ini semua bergantung atas kebijaksanaan parti-parti besar BN, Pas dan Harapan untuk ‘membeli’ jiwa rakyat dan ‘menjual’ diri supaya pengundi di sini yakin semua masalah dihadapi mereka dapat diselesaikan jika diberi mandat.