GOMBAK - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melakukan siasatan segera berhubung insiden panggilan ‘spam’ akibat serangan ‘bots’ yang dilapor berlaku sejak awal pagi tadi.
Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (Harapan) Parlimen Gombak berkata, turut dihujani panggilan telefon tanpa henti dari Amerika Syarikat selain menerima banyak emel tidak dikehendaki, sejak jam 6 pagi tadi.
Menurutnya, beliau bukan mangsa tunggal dalam serangan siber terbabit malah beberapa pemimpin Harapan lain termasuk aktivis masyarakat turut menjadi sasaran.
“Ini tidak lain dan tidak bukan merupakan tindakan terdesak pihak yang takut kalah dan tidak berupaya melawan kuasa rakyat.
“Saya desak siasatan segera SKMM berhubung insiden ini. Mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau dalam pada itu menggesa mana-mana pihak yang menjadi serangan siber terbabit untuk tidak menjawab panggilan telefon atau membalas emel yang diragui.