Sokongan majoriti di Parlimen makin rapuh

SHAH ALAM - Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan jumlah sokongan yang semakin mengecil di Dewan Rakyat susulan peletakan jawatan empat Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, siri peletakan jawatan itu juga boleh meletakkan kerajaan dalam situasi mencabar terutama jika berlaku pengundian kritikal bagi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) penting atau pindaan Perlembagaan.

“Saya melihat kerajaan mungkin berdepan suasana Parlimen yang lebih mencabar, tetapi belum ada asas untuk mengatakan Belanjawan 2027 akan sukar diluluskan. Takwim rasmi Parlimen mengesahkan Belanjawan 2027 akan dibentangkan pada 9 Oktober depan sebelum perbahasan bermula pada 12 Oktober.

“Untuk meluluskan rang undang-undang perbekalan, yang penting ialah sokongan majoriti yang diperlukan ketika pengundian. Berdasarkan kedudukan semasa, kerajaan masih mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang melebihi keperluan majoriti mudah.

“Oleh itu, kehilangan empat kerusi PKR sahaja belum meletakkan kerajaan dalam keadaan kritikal,” katanya kepada Sinar Ahad.

Lee Chean Chung pada Jumaat mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan penggantungan keahliannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama tiga tahun.

Beliau menjadi Ahli Parlimen keempat daripada PKR yang meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat selepas Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Wong Chen (Subang).

Mengulas lanjut, Hussain Yusri berkata, meskipun tindakan empat Ahli Parlimen itu tidak memberikan kesan besar, perkembangan berkenaan tetap tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil kerana wujud persepsi bahawa terdapat perbezaan pandangan atau ketidakpuasan dalam PKR yang masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Ujarnya, perkembangan peletakan jawatan Chean Chung juga perlu diteliti dengan baik terutama reaksi dalam kalangan Ahli Parlimen PKR yang sebelum ini turut dikaitkan dengan ‘kumpulan’ Rafizi.

“Jika keadaan ini berterusan dan melibatkan lebih ramai Ahli Parlimen, ia boleh memberi tekanan kepada kepimpinan PKR dan imej kerajaan Perpaduan. Jadi, kesannya sekarang belum sampai ke tahap menggugat kerajaan, tetapi ia merupakan satu isyarat politik yang perlu diurus dengan berhati-hati.

“Kesannya bukan sekadar kepada jumlah kerusi PKR, tetapi boleh menguatkan persepsi bahawa perpecahan dalaman parti semakin melebar,” katanya.

Tambah beliau, jika tiada lagi Ahli Parlimen mengambil langkah sama, episod tersebut mungkin dapat dikawal sebagai konflik dalaman yang terhad kepada beberapa individu.