PRK Cameron Highlands: Kemuka bukti PH belanja lebih

JASIN - Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mengemukakan bukti kukuh terhadap dakwaan bahawa PH berbelanja lebih daripada sepatutnya untuk berkempen pada PRK Cameron Highlands.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Industri Utama berkata, tuduhan berkenaan tidak berasas dan melulu kerana perbelanjaan yang dibuat berdasarkan peruntukan sedia ada serta mengikut ketetapan undang-undang.

"Dalam undang-undang sudah jelas bahawa setiap pilihan raya sama ada kecil atau umum, kita mempunyai had iaitu RM200,000.

"Beliau (Annuar) tidak harus membuat tuduhan melulu dan saya cabarnya untuk kemukakan bukti. Ini (tuduhan) tidak baik untuk suasana politik yang lebih matang di negara ini ... termasuk petugas PH di PRK Cameron Highlands yang memberikan wang kepada sukarelawan yang dijadikan isu," katanya kepada pemberita selepas Program Pemberian Alat Tulis di Sekolah Kebangsaan Datuk Haji Baginda di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Annuar mendakwa PH telah berbelanja lebih daripada sepatutnya untuk berkempen bagi PRK itu berdasarkan jumlah papan iklan di sekitar Cameron Highlands bagi menampilkan calonnya, M Manogaran.

Mengulas lanjut, Ketua Cabang PKR Jasin itu berkata, PH terutama PKR tidak berselindung dengan setiap perbuatan yang dilakukan termasuk pemberian wang oleh petugas PH kepada sukarelawan yang terlibat dalam PRK Cameron Highlands kerana ia merupakan salah satu bayaran yang dibuat dan akan direkodkan di dalam penyata perbelanjaan parti.

Shamsul Iskandar berkata, ia selaras dengan amalan serta sikap telus PH sejak dahulu lagi dalam menguruskan setiap perbelanjaan yang dilakukan secara berhemah dan dimaklumkan kepada rakyat.

Sementara itu, katanya fokus kempen untuk PRK Cameron Highlands akan diberi keutamaan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Jelai bagi meraih undi warga Felda di sekitar daerah itu khususnya menyampikan mesej positif berhubung FGV Holdings Bhd.

"Hasil daripada penyusunan semula FGV yang telah dilakukan, kita dapat lihat lonjakan yang begitu baik daripada aspek saham dan kita memerlukan hanya sedikit masa lagi, sekiranya transformasi yang dilakukan berjalan lancar, maka mereka akan mendapat manfaat yang besar," katanya. - Bernama

PKR PRK Cameron Highlands PH
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular