Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini bakal menyaksikan perubahan besar di negeri tersebut.
Sarawak sebelum ini menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) apabila berjaya memenangi 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 82 kerusi yang dipertandingkan pada PRN yang lalu.
Namun lain pula ceritanya pada PRN Sarawak kali ini apabila BN mengumumkan untuk tidak membuat kemunculan rasmi memandangkan gabungan itu telah dibubarkan pada tahun 2018 selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Gabungan tersebut bubar apabila parti-parti komponen BN di Sarawak mengambil keputusan untuk mewujudkan sebuah gabungan baharu iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS).
GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Dominasi GPS
Setiap gagasan parti pastinya mempunyai sebuah atau lebih parti yang dominan untuk menjadi pilihan pengundi di sesebuah kawasan serta keutuhan dari segi akar umbi seperti UMNO dan BN.
Situasi sama turut berlaku dalam setiap gagasan yang ada di Sarawak khususnya GPS yang mana PBB menjadi satu parti politik yang dominan untuk menarik undi rakyat negeri itu bagi memberi kemenangan kepada GPS.
Untuk rekod, pada PRN Sarawak 2016, PBB merupakan penyumbang jumlah kerusi DUN terbesar bagi GPS dengan jumlah sebanyak 40 kerusi berjaya ditawan.
Jelas sekali perkara tersebut menunjukkan kekuatan parti tersebut dalam pilihan raya memang tiada tandingan sama sekali dan rekod juga menunjukkan tidak pernah seorang calon dari PBB kalah sejak tahun 1996.
Dengan rekod bersih selama 25 tahun itu, tidak salah untuk kita mengatakan bahawa PBB merupakan parti dominan dalam GPS serta bakal menjadi tulang belakang kepada GPS untuk terus memerintah kerajaan Sarawak pada penggal seterusnya.
Selain ikrar GPS untuk menjadi suara Sarawak dan menjaga hak masyarakat di Sarawak, sokongan rakyat negeri itu terhadap PBB juga mampu menjadikan GPS sebagai satu gagasan yang kebal di Sarawak.
Dengan bantuan dari komponen parti lain dalam GPS seperti PDP, SUPP dan PRS, tidak mustahil GPS akan sekali lagi memenangi Sarawak dengan cukup bergaya.
Namun begitu, segala kemungkinan boleh berlaku kerana situasi politik negara sedang berubah dan pengundi-pengundi muda juga sudah terdedah dengan situasi politik negara melalui media sosial.