SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) perlu terus memperkukuh perjuangan dan strategi tanpa membuang masa melayan tohmahan atau putar belit pihak lawan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, isu calon Perdana Menteri hanya relevan sekiranya PN berjaya mencapai kemenangan besar sehingga layak menerajui kerajaan Persekutuan.
“Tidak perlu kita bersengkang mata atau memerah idea hanya untuk memenuhi agenda pihak lawan yang mahu melihat PN bertelagah. Dengan kemenangan 73 kerusi Parlimen dan penguasaan di empat negeri, perjalanan PN masih panjang.
“Walaupun bayangan Putrajaya sudah kelihatan, ia masih belum jelas. Seperti pepatah, ‘Ternak dahulu kambing, kemudian barulah berbincang tentang pembahagian untung’,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Rabu.
Tambah beliau, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan dan Malaysian Indian People Party (MIPP) perlu bekerja sebagai satu pasukan tanpa menoleh ke belakang atau sekadar berbangga dengan pencapaian lalu.
“Musuh sudah tentu sedang merancang strategi dan dengan kedudukan mereka sebagai kerajaan pusat, segala dana serta kemudahan akan digunakan sepenuhnya untuk mempertahankan kuasa.
“Ketepikan perkara yang tidak menguntungkan perjuangan.Jika benar kita mahukan kejayaan, mari kita perkukuh muafakat dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai ujian pertama sebelum meneruskan bahtera menuju Putrajaya.
“Mari kita kembali kepada penyelesaian Islam demi masa depan negara yang lebih baik,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan berakhirnya Muktamar Pas ke-71 merumuskan gagasan bagi mengukuhkan perjuangan Pas dan PN.
“Muktamar kali ini memberi tumpuan khusus kepada usaha Pas meyakinkan rakyat, khususnya masyarakat bukan Islam, bahawa mereka tidak perlu berasa takut atau bimbang terhadap Pas dan PN sekiranya kami diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Sudah menjadi lumrah, akan ada usik-mengusik dalam perbahasan perwakilan. Kadangkala teguran diberikan secara tegas dan kebanyakannya dengan cara halus serta lembut. Semua itu tanda kasih sayang dalam jemaah dan perjuangan. Teguran yang benar wajar dijadikan pedoman, manakala yang kurang tepat dijadikan peringatan,” katanya.