SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan supaya keutamaan diberikan pada usaha menyatupadukan bangsa Melayu berbanding berebut untuk jawatan calon Perdana Menteri.
Dr Mahathir berkata, peluang untuk seseorang menjadi Perdana Menteri itu bergantung sepenuhnya kepada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, di mana sesebuah parti perlu mencapai sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.
“Calon tidak akan jadi Perdana Menteri jika partinya tidak menang 112 kerusi. Untuk menang, partinya perlu letak lebih daripada 112 kerusi.
“Parti lain pun akan letak calon melawan partinya. Tidak mungkin partinya menang 112 kerusi.
“Tak usahlah berebut-rebut nak jadi calon Perdana Menteri. Sebaliknya berusahalah untuk Melayu bersatu,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berakhir pada 7 September lalu meluluskan usul menamakan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, 77, secara terbuka mengakui faktor usia dan kesihatan menghalangnya daripada dipertimbang sebagai calon Perdana Menteri ke-11, namun menegaskan parti itu bersedia menerajui Malaysia jika PN menang PRU16.
Susulan pengakuan Abdul Hadi, nama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, 54, semakin mendapat sorotan sebagai tokoh muda Pas yang berpotensi diangkat sebagai calon PM selain Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memandangkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, 65, turut menolak daripada dicalonkan.
Ujar Dr Mahathir, sebaiknya soal pemilihan calon Perdana Menteri boleh dilakukan selepas mencapai kemenangan dalam PRU akan datang.
Menurutnya, pada peringkat ini, lebih penting sekiranya parti memberi tumpuan terhadap usaha perpaduan Melayu terlebih dahulu.
“Hanya jika Melayu bersatu sahaja barulah kemenangan boleh dicapai. Setelah menang barulah pilihan Perdana Menteri dibuat.
“Semua yang berbakat boleh bertanding untuk jadi Perdana Menteri,” ujarnya.