PRN Sarawak: Kalau ada kilang, akan ada peluang pekerjaan

ASAJAYA - Tiada pusat kemahiran dan kilang memaksa para belia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya memilih untuk berhijrah ke bandar-bandar besar.

Rata-rata anak muda yang ditemui Astro AWANI mahu perkara ini ditangani kerajaan sekali gus menjadi agenda utama wakil rakyat yang dipilih selepas 18 Disember 2021 nanti.

Pewujudan kilang dan pusat kemahiran itu mampu mengelak para belia berhijrah ke bandar berdekatan seperti Kuching, Samarahan, Sibu dan ke Kuala Lumpur serta Johor Bahru.

Bagi seorang tukang gunting rambut, Mohd Shukri Jawi amat mengharapkan akan ada perancangan membuka lebih banyak peluang pekerjaan di Asajaya.

"Sepatutnya lebih banyak peluang pekerjaan dibuka. Ramai kawan-kawan saya pergi ke Kuching atau Samarahan untuk bekerja.

"Jika ada peluang pekerjaan seperti kilang ka... anak-anak muda ini tidak perlu ke Tabuan Jaya, Kuching dan tempat-tempat lain la," katanya.

Pandangan sama turut diberikan pembantu kedai, Shahrul Shafiq Noh yang mahu peluang pekerjaan disediakan di Asajaya termasuk mengambil kira tangga gaji.

"Saya harap ada kilang di sini (Asajaya) supaya kami tidak pergi ke Samarahan atau Kuching sana mencari kerja," katanya.

Berbeza dengan seorang guru, Awang Rusdi Awang Yusuf yang mahu capaian telekomunikasi dan infrastruktur di kawasan itu ditambah baik.

Mengakui peluang pekerjaan juga kurang di Asajaya, Awang Rusdi mahu perkara ini dapat diatasi oleh wakil rakyat yang bakal dipilih rakyat nanti.

Selain itu, cadangan itu disokong seorang lagi pembantu kedai, Safinas Sajali yang mana capaian telekomunikasi perlu dinaik taraf di Asajaya terutama di kampung-kampung.

"Selain itu saya juga harapkan lebih banyak fasiliti sukan seperti dewan badminton dan padang futsal," katanya.

Mengikut statistik dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih 4,000 anak muda berusia 21 hingga 39 tahun layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak. - Awani

ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :