JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menegaskan kesediaan untuk berdepan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang tanpa bergantung kepada sebarang rundingan pembahagian kerusi dengan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun di peringkat Persekutuan wujud Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN, namun realitinya di Johor kerajaan negeri dibentuk sepenuhnya oleh BN tanpa sebarang penglibatan rasmi PH.
“PH adalah pembangkang di Johor. Tidak wujud perkongsian kuasa di peringkat negeri.
"Jadi, sebarang kerjasama pilihan raya antara PH dan BN akan dilihat tidak konsisten serta mengelirukan pengundi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, Amanah Johor menganggap rundingan pembahagian kerusi antara PH dan BN di negeri itu sebagai tidak relevan, sebaliknya memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata, kerjasama dengan BN juga dikhuatiri akan menjejaskan peluang Amanah memperluas pengaruh politik kerana kebanyakan kerusi tradisi parti itu kini berada di tangan BN hasil peratus keluar mengundi rendah semasa PRN15 iaitu sekitar 54.5 peratus.
“Kerjasama sebegitu hanya akan menguntungkan sebelah pihak dan menyukarkan Amanah untuk merampas kembali kerusi yang pernah dimenangi BN,” ujarnya.
Dzulkefly turut menegaskan, keputusan untuk bersiap sedia menghadapi tiga penjuru adalah hasil suara akar umbi yang kecewa dengan sikap beberapa pimpinan UMNO/BN Johor yang didakwa memperlekeh semangat setiakawan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Ini isyarat jelas kepada UMNO/BN Johor supaya nyatakan pendirian sebenar sama ada mahu bersama Pakatan Harapan atau bersendirian dalam PRN Johor. Jangan terus bermain teka-teki yang hanya mengundang kekeliruan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Amanah Johor akan memperkukuh jentera termasuk menggerakkan sayap Awan dan pemuda di seluruh kawasan DUN sebagai persediaan menghadapi PRN akan datang.
Sebelum itu pada Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa PRN Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2027, sejajar dengan tempoh penggal pentadbirannya yang tamat pada tarikh berkenaan.
Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH terdiri DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
PN pula menang tiga kerusi dengan Bersatu dua, manakala Pas, satu sementara Parti Ikatan Demokratik (Muda) juga satu kerusi.