KOTA KINABALU - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM116.8 juta
Menurutnya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17 adalah Daftar Pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2025 yang dikemas kini sehingga 5 Oktober lalu.
"DPPR bagi PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17 ini mengandungi seramai 1,784,843 orang pemilih yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 tentera serta pasangan, dan 12,729 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).
"DPPR bagi PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17 dijadualkan akan mula dijual pada 1 November 2025 (Sabtu)," katanya dalam sidang akhbar PRU Dewan Undangan Sabah ke-17 di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini pada Khamis.
Tambahnya, pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
"Waktu operasi hotline SPR adalah dari jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari. Semakan boleh dibuat mulai 1 November 2025 (Sabtu)," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bagi memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17, agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri seluruh negara sebelum hari penamaan calon.
"Selain itu, bakal-bakal calon juga adalah digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal. Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.
"Bagaimanapun, adalah diingatkan bahawa kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa Hari Penamaan Calon di PPC yang telah ditetapkan oleh SPR," katanya.
Ramlan berkata, SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mana-mana badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat penjalanan proses PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17 bermula pada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.
"Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di PPC, pusat-pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan PPRU serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantikan yang telah ditetapkan oleh SPR," katanya.
Sehubungan itu, maklumat lanjut dan borang permohonan berkaitan pemerhati pilihan raya boleh diperoleh dari portal SPR www.spr.gov.my mulai 9 Oktober 2025 (Khamis) dan tarikh tutup permohonan pada 27 Oktober 2025 (Isnin).
"SPR juga akan meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi live streaming bagi pusat/saluran mengundi yang terpilih di laman Facebook SPR sebagaimana yang dilaksanakan pada pilihan raya sebelum ini.
"Bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi, SPR akan melaksanakan kempen `Jom Kita Undi` melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat-tempat lain yang bersesuaian," katanya.