pernah dicemuh rakan karib

PARIT BUNTAR - Siapa sangka minat dalam aktiviti kebajikan menjulang nama Ketua Pemuda Harapan Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim,36, sehingga terpilih menjadi calon PKR bagi Dun Titi Serong pada PRU14 ini.

Lebih manis, pencapaian dikecapi setelah Hasnul Zulkarnain diuji pelbagai peristiwa termasuk pernah dicemuh rakan karib setelah mengubah wadah perjuangan parti dari Pas ke Amanah sebelum ini.

Berasal dari Kuala Kangsar dan merupakan seorang ahli perniagaan, Hasnul Zulkarnain sama sekali tidak terlintas untuk bergerak serius dalam arena politik, lebih-lebih terpaksa menguruskan tiga cabang perniagaan mencabar.

Menurutnya, bidang perniagaan banyak mengajarnya untuk lebih berdaya saing dan kecekalan Hasnul Zulkarnain diterjemahkan meneruskan pencapaiannya sebagai satu-satunya pengusaha bumiputera yang masih bertahan dalam bisnes pusat perkhidmatan Proton di Kuala Kangsar sehingga kini.

“Syukur Alhamdulillah saya juga berjaya mencapai kejayaan dalam bidang pembinaan apabila projek Islamic Green Village di Kuala Kangsar bernilai RM6 juta yang turut menempatkan masjid buluh pertama di Malaysia berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada tahun 2016.

“Selain itu, minat mendalam saya dalam kerja kebajikan membolehkan dua kes utama ditularkan dalam sosial media iaitu isu anak kembar kehilangan ibu di Kuala Kangsar dan isu lima beranak naik motosikal dari Ipoh ke Sungai Petani diselesaikan dengan pelancaran kutipan dana,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Hasnul Zulkarnain berkata, penglibatan dirinya dalam bidang politik secara serius bermula tahun 2010 apabila dia dilantik sebagai ahli jawatankuasa Pas kawasan Kuala Kangsar.

Berasal dari keluarga Umno, Hasnul Zulkarnain mengakui terpaksa menceburi politik setelah merasakan inisiatif membantu rakyat menerusi NGO dan kerja kebajikan tidak cukup kuat untuk memberi tekanan kepada kerajaan sedia ada.

“Saya juga antara terawal keluar dari Pas bersama Penasihat Amanah, Ahmad Awang dan Datuk Seri Nizar (Jamaluddin) dan dilantik sebagai Ketua Amanah Parlimen Kuala Kangsar.

“Perubahan wadah politik dari Pas ke Amanah turut menyebabkan saya diuji apabila bukan sahaja dicemuh bekas rakan parti lama, malah seorang rakan karib yang berada satu jemaah surau dengan saya sebelum kami menyertai Pas lagi, bertindak memutuskan tali persahabatan,” katanya.

Hasnul Zulkarnain turut mendedahkan pengalaman sebagai Pengarah Pilihan raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar pada tahun 2016 adalah merupakan kemuncak kerjaya politik dirinya sebelum tercalon mewakili Harapan di Dun Titi Serong kini.

Menurutnya, pengalaman itu amat mencabar memandangkan usia parti baru enam bulan, hanya dua cawangan ditubuhkan dan keletihan akibat membantu rakan Harapan menghadapi Pilihanraya Sarawak ketika itu masih belum hilang.

“Amanah itu sangat menguji kesabaran saya untuk menguruskan ahli dan jentera PRK ketika itu.

“Pada PRK Kuala Kangsar, saya merasa dua keadaan, iaitu rasa tertekan apabila SPR mengumumkan PRK diadakan pada bulan puasa dan rasa susah apabila mengalami masalah dana terhad, tenaga jentera terhad dan sangat terbatas untuk berkempen waktu itu.

“Namun, saya rasa berbangga apabila dengan hanya kemampuan dua cawangan melibatkan 132 ahli sahaja, Amanah mampu memberi saingan sengit kepada Pas setelah beroleh 4,480 undi berbanding Pas mendapat lebih 5,000 undi,” katanya.

Uji kemampuan diri

Hasnul Zulkarnain berkata, pemilihannya sebagai calon PKR-Harapan mewakili Amanah di Dun Titi Serong juga tidak dirancang dari awal kerana pada peringkat awal, dirinya ditawarkan bertanding di Dun Lubuk Merbau.

Namun selepas dilamar pegawai khas penyandang kerusi Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Hasnul Zulkarnain segera mempertimbangkan tawaran itu sebelum menyerahkannya kepada pucuk kepimpinan Amanah Perak untuk diputuskan.

“Mereka (Amanah Perak) bersetuju dan saya ambil amanah ini untuk menguji kemampuan diri saya menjadi pemimpin masyarakat setelah berjaya memimpin parti dan menguruskan perniagaan dengan baik.

“Lagipun saya tidak kekok untuk menemui dan bercampur dengan masyarakat, lebih-lebih lagi pengalaman melakukan banyak kerja kebajikan membuatkan saya lebih mudah menyantuni masyarakat,” katanya.

Hasnul Zulkarnain berkata, berstatus orang luar sentimen yang dirinya perlu hadapi apabila dicalonkan bertanding di Dun Titi Serong pada PRU14.

Bagaimanapun, beliau tidak melihat perkara itu satu masalah kerana hasratnya bertanding pada PRU14 bukan untuk mencari jawatan atau populariti.

“Mungkin sifat semulajadi saya sukakan kerja kebajikan, jadi saya cuba sehabis baik untuk menyantuni dan membantu masyarakat memerlukan.

“Lagipun, jika parti lawan hendak memainkan sentimen calon luar, calon Pas pun bukan benar-benar calon anak tempatan, hanya calon BN yang benar-benar menetap di Dun Titi Serong hingga kini,” katanya.

Hasnul Zulkarnain turut menyifatkan pengundi Parit Buntar sangat unik di mana mereka boleh terima pemimpin meskipun berasal dari luar Parit Buntar.

“Kebanyakan mereka memberi respons positif sewaktu ditemui saya dan mereka menyatakan tiada masalah memilih calon luar seperti saya, asalkan parti dan manifesto ditawarkan adalah memenuhi kehendak mereka,” katanya.

Mula-mula gundah gulana

Di sebalik sambutan positif diterima, Hasnul Zulkarnain mengakui dia pada mulanya berfikir banyak kali sebelum bersetuju jadi calon.

Lebih-lebih di Kerian ramai orang banjar, beliau beranggapan awal bahawa budaya masyarakat Perak Utara juga agak lain daripada masyarakat Perak Tengah.

“Jadi pada mulanya saya segera membuat kajian budaya dan sebolehnya cuba untuk mengadaptasi budaya penduduk di sini.

“Mula-mula rasa gundah-gulana, namun bila sudah lama di sini, rasa tidak begitu sukar dan tidak seperti bayangan awal kerana masyarakat di sini memiliki tatabudaya sangat tinggi dan amat menghormati orang lain terutama masyarakat kampung,” katanya.

Hasnul Zulkarnain turut mendedahkan pengalaman dirinya diprovokasi segelintir penyokong parti lawan sewaktu menghadiri kenduri kahwin di Parit Haji Wahab sehingga ada yang enggan bersalaman dengannya.

Bagaimanapun, beliau tidak mengambil hati dengan menganggap mereka mungkin tidak diberi maklumat tepat mengenai perjuangan Amanah dan PKR-Harapan.

“Lagipun baru-baru ini, anak kedua Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, Nik Omar bertindak menyertai Harapan dan keputusan itu satu anugerah kepada kami kerana membuktikan Amanah tidak tersasar dari landasan agama,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan menghadapi 9 Mei, Hasnul Zulkarnain menegaskan sejumlah 15 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dun Titi Serong sudah dilawati di mana setiap masjid dan surau sempat disinggahinya.

Selain itu, beliau turut melihat perkembangan positif apabila rakyat Dun Titi Serong semakin menerima kehadirannya.

“Sepanjang kempen PRU14, saya selesa dengan pendekatan ‘hit and run’ di mana saya parkir kenderaan berhampiran pasar malam dan pasar tani dan beri penerangan secara terus kepada pengundi.

“Cara itu membolehkan pengundi berinteraksi secara terus dengan saya dan kaedah ini ternyata membolehkan lebih ramai pengundi muda dan atas pagar lebih cenderung menyokong saya,” katanya.

Trend pengundi Cina

Di sebalik usaha keras calon BN memenangi hati pengundi Cina dengan penganjuran pelbagai program besar, Hasnul Zulkarnain sangat berkeyakinan pengundi Cina masih memihak kepada Harapan.

Menurutnya, trend pengundi masyarakat Cina pada PRU kali ini berbeza dengan trend pengundian ditunjukkan mereka pada beberapa PRK sebelum ini kerana pada 9 Mei ini, mereka nekad untuk menukar kerajaan.

“Saya sendiri sering dibisikkan di telinga oleh beberapa pemimpin Cina berpengaruh yang menyatakan tidak perlu bimbang kerana mereka memberikan sokongan 100 peratus kepada saya.

“Lebih mengejutkan, sebahagian pengundi India yang sebelum ini cenderung menyokong BN juga datang kepada saya dan menyatakan hasrat menyokong penukaran kerajaan BN,” katanya.

Di sebalik sambutan positif diterima dari masyarakat Dun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain enggan mendabik dada, sebaliknya terus bekerja keras mendekati seramai mungkin pengundi sebelum 9 Mei.

“Sekiranya saya terpilih sebagai wakil rakyat selepas 9 Mei nanti, kita akan memastikan penumpuan pembangunan di Dun Titi Serong dapat dilaksanakan secara total demi memacu perkembangan ekonomi penduduk setempat.

“Selain itu, apabila terhapusnya GST selepas kerajaan PKR-Harapan mengambil alih Putrajaya ditambah sifar rasuah, banyak manfaat bakal menanti rakyat bawahan di bawah pentadbiran kerajaan Harapan,” katanya.

Hasnul Zulkarnain Abd MunaimParit Buntar Pakatan Harapan
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular