Tak risau calon lawan

KLUANG - Calon Pas Parlimen Kluang, Muhammad Hasbullah Md Najib yakin beliau mampu memperoleh kemenangan pada PRU14 nanti.

Katanya, keyakinan tersebut diletakkan hasil respons positif diterima ketika berkempen.

Menurutnya, rata-rata pengundi yang ditemui di kawasan berkenaan berjanji akan beri undi kepada Pas.

“Tak kira sama ada penyokong BN atau Pakatan Harapan (Harapan) mereka beritahu akan beri undi kepada Pas kerana letak calon Melayu Islam.

“Sentimen itu agak kuat terutamanya apabila saya turun ke bawah untuk berjumpa dengan masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya tentang lawannya yang memiliki nama besar dalam politik, Muhammad Hasbullah berkata, beliau tidak risau kerana kedua-dua lawannya itu bukan Melayu.

“Saya tak ada masalah dengan nama calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen kerana masing-masing tidak memberi impak yang besar.

“Saya cuma perlu dapatkan undi Melayu sahaja kerana jumlahnya di sini 45 peratus dan hanya beza lima peratus sahaja berbanding pengundi Cina iaitu 48 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yang turut bertanding di Dun Mahkota berkata, laluan agak sukar untuknya meraih kemenangan di kerusi berkenaan kerana majoriti pengundinya adalah Melayu.

“Untuk kerusi Dun Mahkota agak mencabar kerana majoriti pengundinya Melayu dan calon lawan saya juga semua Melayu.

“Malah, kita juga susah nak tentukan sebab ada lebih kurang 8,000 pengundi awal dalam kalangan tentera di sini,” katanya.

Bercakap soal gerak kerja kempennya pula, Muhammad Hasbullah berkata, beliau memilih pendekatan biasa iaitu bertemu dan beramah mesra dengan penduduk di samping menganjurkan ceramah kelompok.

“Saya banyak melakukan ziarah di pasar-pasar dan pejabat kerajaan.

“Di samping itu saya juga anjurkan ceramah kelompok di tempat-tempat yang dikunjungi,” katanya.

Muhammad Hasbullah Md NajibKluang
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :