KLUANG - Pengundi di Parlimen Kluang dinasihatkan supaya jangan terpedaya dengan hasutan pembangkang yang hanya meletakkan calon ‘transit’ pada PRU14.
Setiausaha BN Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, taktik pembangkang itu adalah mahu memburuk-burukkan kerajaan sepanjang kempen dengan memainkan isu sensasi dengan memutar-belitkan fakta hanya untuk meraih perhatian pengundi.
“Sebagai contoh, isu di Negeri Sembilan yang menyaksikan Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding atas kesilapan calon mereka (pembangkang) sendiri yang tidak ikut peraturan.
“Tetapi, Rafizi (naib presiden PKR) memutar belit fakta dengan menuduh kerajaan dan menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedangkan hakikatnya mereka yang silap. Jadi, masyarakat tengok dan nilailah sendiri,” katanya kepada media selepas mengadakan tinjauan turun padang di beberapa kawasan sekitar Dun Mahkota, semalam.
Dalam pada itu, Md Jais yang juga penyandang kerusi Dun Mahkota turut mengingatkan masyarakat supaya memberi kemenangan kepada BN demi nasib dan masa depan mereka.
Menurutnya, sepanjang kempen ini, beliau mendapati BN khususnya di Parlimen Kluang mendapat sambutan yang baik daripada pelbagai masyarakat khususnya kaum Cina.
“Saya yakin mereka (pengundi Cina) akan kembali menyokong BN semula selepas sedar kesilapan memilih pembangkang pada pilihan raya lepas.
“Mereka dapat lihat bagaimana kita (BN) bekerja dan setakat ini, sambutan masyarakat Cina nampaknya lebih baik dan mesra,” katanya sambil menempelak tohmahan calon Parlimen Kluang dari DAP, Wong Shu Qi yang mempersoal sumbangan wakil BN di Kluang.
Md Jais turut menyifatkan calon Pakatan Harapan itu tidak mengetahui apa-apa tentang Kluang.
“Kononnya dia (Shu Qi) hendak berjuang di sini, tetapi tidak tahu apa-apa pasal Kluang. Jadi, saya minta dia jangan tipu rakyat dan saya minta orang Kluang juga jangan terpedaya dengannya.
“Banyak projek yang telah kita (BN) sumbang dalam tempoh lima tahun ini antaranya mengatasi kesesakan trafik dengan menyediakan Jalan Lingkaran Tengah dari Stadium Taman Kluang Barat ke Jalan Mengkibol.
“Saya juga sedia berdebat dengan dia sekiranya diberi peluang bagi menjelaskan dan menerangkan pembangunan yang BN telah buat di Kluang,” katanya.