Kerjasama BN-PN dijangka diteruskan hingga PRU - Sanusi

ALOR SETAR - Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang susulan kejayaan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan PRN Melaka menyaksikan sokongan lebih baik berbanding pilihan raya sebelum ini membuktikan kerjasama berkenaan membuahkan hasil.

"Alhamdulillah menang banyak lebih daripada dulu. Kita harap teruskan kerjasama ke PRU. Saya jangka begitu," katanya kepada media selepas pembentangan Bajet Kedah 2027 di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan keputusan PRN Melaka yang menyaksikan BN dan PN memenangi 24 kerusi manakala baki empat lagi dimiliki Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut, Menteri Besar Kedah itu berkata, keputusan PRN Melaka menunjukkan perkembangan positif hasil kerjasama politik berkenaan.

"Serah kepada pilihan rakyatlah. Rakyat nampak, rakyat tengok, begitulah, rakyat berharap lagu mana kan. Itu mesej daripada orang ramai...saya harap diteruskanlah," katanya.