KLUANG - Kelibat Ketua Umno cawangan Niyor,Mastor Otoh,48, menjadi perhatian ramai apabila beliau memakai baju Melayu yang dihasilkan dengan menggunakan bendera BN dan logo Sembrong Kita.
Katanya, idea membuat baju Melayu itu adalah darinya sendiri bagi menunjukkan tanda sokongan dan sayang terhadap BN.
Menurutnya, baju Melayu itu telah dijahit oleh adik iparnya dua hari lepas semata-mata untuk dipakai semasa hari penamaan calon di Taman Sri Lambak.
"Saya memang suka mencipta sesuai kelainan kerana pada PRU13 saya telah membuat baju kemeja dengan menggunakan bendera Umno dan bendera BN.
"Pada PRU14 ini, saya suruh adik ipar buatkan baju Melayu menggunakan bendera BN di bahagian hadapan dan belakang baju tersebut menggunakan logo Sembrong Kita.
"Saya juga menggunakan tudung wanita Umno sebagai penutup kepala. Tudung wanita Umno ini sudah berusia lima tahun," katanya ketika ditemui ketika di Bangunan Komuniti Sembrong, Taman Sri Lambak, di sini, hari ini.
Mastor berkata, dia tidak mengeluarkan kos yang tinggi untuk menghasilkan baju Melayu tersebut.
"Saya hanya bagi upah dekat kepada adik ipar tapi tak mahal sangat sekadar duit 'minum kopi'.
"Hari ini saya nampak lain dari lain malah tak sangka jadi perhatian ramai," katanya.
Beliau hadir untuk mengiringi calon BN kerusi Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama calon Dun Kahang, R. Vidyanathan dan Dun Paloh, Teoh Yap Kun berarak ke tempat penamaan calon.