Debat tetap berlangsung: Syed Saddiq

MUAR - Meskipun tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa, calon PKR kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap dengan keputusannya untuk meneruskan program debat antara beliau dan Datuk Seri Razali Ibrahim pada malam ini.

Syed Saddiq dalam satu kenyataan berkata, penganjuran itu tetap berlangsung bagi membuktikan keseriusannya terhadap pihak berkaitan dalam membincangkan topik dan isu yang berlaku pada rakyat.

“Saya sangat kecewa kerana usaha kami untuk membudayakan debat dan dialog dalam Malaysia bagi masa depan yang lebih cerah sentiasa ada sekatan.

“Saya tak faham sebab saya dah berdebat berkali-kali dengan wakil Pas dan BN sebelum ni dan tak pernah ada masalah keselamatan awam,” katanya.

Menurutnya, pihak tertentu tidak seharusnya berasa tercabar mahupun bimbang dengan debat lantaran program seumpama ini seharusnya dibudayakan di banyak tempat.

“Apabila kita nak adakan sesi ilmiah mesti ada halangan, sama sahaja. Apa masalah keselamatan? Kita bukan gunakan senjata, kita hanya berdepan dengan mereka gunakan hujah. Hujah ilmiah.

“Kita budayakan debat dan dialog seperti negara-negara maju yang lain! Kita nak pastikan rakyat ada pilihan dan rakyat tahu serta boleh memperhalus agenda setiap sorang ahli politik tersebut.

“Sebab tu saya tekankan lagi sekali. Sesi perdebatan malam ini akan diteruskan pada jam 9 malam, di Hotel Traders Muar kerana kita nak membudayakan budaya ilmiah debat dan dialog di antara rakyat Malaysia,” katanya.

Syed Saddiq Syed Abdul RahmanPKR
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :