Kempen lebih agresif tarik pengundi luar pulang mengundi

PORT DICKSON - PKR akan menggerakkan kempen dengan lebih agresif dalam usaha mengajak pengundi luar balik mengundi di Port Dickson pada 13 Oktober nanti.

Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pengundi perlu mengetahui bahawa PRK Parlimen Port Dickson adalah penting bukan sahaja untuk kawasan berkenaan malah untuk negara juga.

Menurutnya, parti akan melakukan pelbagai kaedah termasuk menghubungi pengundi luar dan mengajak mereka pulang mengundi pada Sabtu ini.

“Ada dua kategori kita tetapkan dalam pemilihan pengundi luar. Pertama, mereka yang berada di luar Negeri Sembilan.

 “Kedua, mereka yang berada di dalam Negeri Sembilan tetapi di luar Port Dickson.

“Kami mahu pastikan dapat menghubungi mereka dan mengajak mereka balik mengundi,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH, di sini, tengahari tadi.

Tambah Syed Ibrahim, pihaknya juga menerima tawaran daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu membawa pengundi pulang secara percuma.

“Ada juga tawaran dibuat Grab, boleh dapat diskaun RM5 jika menggunakan perkhidmatan mereka untuk pulang mengundi.

“Kita gembira dan terima bantuan diberikan dan kita juga mengalu-alukan diskaun ditawarkan Grab,” ujarnya lagi.

Ketika ditanya mood pengundi menjelang PRK Parlimen Port Dickson, Ahli Parlimen Ledang itu mengatakan ia agak baik dalam kalangan masyarakat setempat.

“Begitupun, kami perlu tarik pengundi dari luar untuk balik mengundi. Perlu ada sokongan daripada rakan parti juga untuk jayakan kempen ini.

“Lebih baik kalau orang awam pun beri bantuan, ajak rakyat Port Dickson balik mengundi,” katanya.

Syed Ibrahim Syed NohPKR
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :