ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran membubarkan Parlimen supaya rakyat dapat menentukan sendiri kerajaan yang mereka mahukan, kata Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.
Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Kedah itu berkata, tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan hanya menambah kekusutan politik negara di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.
Menurutnya, rakyat ketika ini sudah letih dengan perkembangan politik yang didakwa berlebihan, terutama ketika berdepan tekanan kos sara hidup.
“Tindakan terbaik PMX sekarang adalah bubarkan Parlimen, biar pengundi tentukan kerajaan yang mereka mahukan.
“Biar rakyat tentukan sama ada mereka dapat menerima dasar dan polisi Madani atau mahu dipimpin kerajaan lain,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada Sabtu, media melaporkan Anthony menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Anthony dilaporkan berkata, beliau akan mengemukakan surat peletakan jawatan itu kepada Anwar dalam masa terdekat.
Mengulas perkara tersebut, Syed Mohd Johan Rizal berkata, Kerajaan Madani didakwa semakin sukar dipertahankan sekiranya perkembangan politik seumpama itu berterusan sehingga tamat penggal.
Katanya, keadaan berkenaan turut dibimbangi memberi kesan kepada ekonomi negara, reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa serta kualiti hidup rakyat.
“PMX harus jadikan ‘langkah DAP’ sebagai penamat terhadap kekusutan politik negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan tindakan DAP berhubung tawaran peletakan jawatan Anthony, sedangkan menteri dan timbalan menteri daripada parti itu masih kekal dalam Kabinet.
Beliau turut mempersoalkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang sebelum ini dikaitkan dengan kenyataan mengenai peletakan jawatan sekiranya Najib mendapat pengampunan.
“Kenapa tidak seluruh anggota Kabinet DAP lepaskan jawatan, kenapa Kor Ming juga tidak lepaskan jawatan.
“Kor Ming yang membuat kenyataan letak jawatan jika Najib Razak diampunkan, tetapi Anthony yang berkorban, manakala menteri DAP lain terus kekal dalam Kabinet,” katanya lagi.
Beliau turut mempersoalkan sama ada tawaran peletakan jawatan Anthony itu akan benar-benar membawa kepada pengunduran daripada Kabinet.
Menurutnya, Anthony masih belum meninggalkan Kabinet, sebaliknya hanya akan menawarkan peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri.
“Jika tawaran itu ditolak (oleh PM), Anthony kekal, Kor Ming kekal dan semua menteri DAP terus memegang jawatan.
“Maka ini peletakan jawatan atas prinsip atau sekadar surat tawaran yang dirancang untuk ditolak,” katanya lagi.