Faktor 'kingmaker' di sebalik dominasi GPS

SHAH ALAM – Kedudukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai antara penentu kuasa atau kingmaker dalam politik nasional dilihat menjadi faktor penting yang mengukuhkan kedudukannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Ketidakhadiran beberapa parti utama dari Semenanjung serta pembubaran Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 2024 turut mengubah landskap persaingan politik negeri itu, sekali gus mengurangkan cabaran terhadap GPS.

Penganalisis politik dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dick Lembang Dugun berkata, kekuatan GPS ketika ini bukan hanya bersandarkan kedudukannya di peringkat negeri, malah turut dipengaruhi dinamika politik nasional.

Menurutnya, keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk tidak bertanding memberi kelebihan kepada GPS.

“PKR yang selalu mewarnai politik Sarawak setiap kali pilihan raya tidak bertanding kali ini. Begitu juga Pas walaupun parti tersebut menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan sewaktu di DUN Beting Maro pada PRN Sarawak ke-12.

“Faktornya mungkin dipengaruhi oleh sentimen percaturan politik nasional pada masa akan datang. Itu yang dapat saya lihat dari segi dinamika politik,” katanya kepada Sinar Ahad.

DAP muncul satu-satunya parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang bertanding kali ini dengan meletakkan calon di 14 kerusi selepas menambah Bawang Assan dan Senadin susulan keputusan PKR tidak bertanding.

Landskap persaingan kali ini turut memperlihatkan penurunan ketara jumlah calon daripada 349 pada PRN 2021 kepada 168, manakala hanya 53 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan melalui proses pengundian.

Persaingan politik

Dick berkata, pembubaran PSB turut menyebabkan landskap politik Sarawak kehilangan satu lagi blok persaingan yang signifikan.

Keadaan itu menyaksikan persaingan banyak tertumpu kepada parti tempatan seperti Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).

“Banyak parti-parti kecil tempatan yang merasakan tidak mampu menyaingi GPS. Tetapi, saya mahu ucapkan tahniah kerana masih ada yang berani keluar daripada kepompong keselesaan melawan GPS.

“Perkara ini penting dalam sistem demokrasi kerana sekurang-kurangnya ia mampu membuka pemikiran rakyat,” ujarnya.

Dick turut melihat prestasi pentadbiran kerajaan negeri selepas PRN Sarawak ke-12, khususnya pelaksanaan dasar pembangunan, bantuan serta inisiatif kebajikan sebagai antara faktor yang mengukuhkan GPS.

Katanya, keupayaan membawa dasar kerajaan sehingga ke peringkat akar umbi turut berpotensi mempengaruhi keputusan parti kecil dan calon Bebas untuk tidak bertanding di beberapa kawasan.

Mengulas kemenangan GPS di 29 kerusi tanpa bertanding pada hari penamaan calon Sabtu, Dick berkata, gabungan itu hanya memerlukan 13 kerusi lagi untuk memperoleh majoriti mudah, namun sasaran sebenarnya adalah mengekalkan penguasaan dua pertiga DUN Sarawak.

Pada PRN 2021, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi sebelum jumlah itu meningkat kepada 79 selepas tiga bekas ADUN PSB menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sokongan seorang lagi bekas ADUN PSB yang berstatus Bebas menjadikan kekuatan blok kerajaan sebanyak 80 kerusi sebelum pembubaran DUN.

Dick bagaimanapun berpandangan masih terdapat beberapa kerusi bakal menyaksikan persaingan sengit khususnya di kawasan majoriti masyarakat Iban.

“Jangkaan saya GPS memang masih boleh memenangi lebih 70 kerusi DUN. Jika berlaku perubahan pun mereka memang tetap berada pada paras 74 hingga 76 kerusi, kecuali berlaku swing vote kerana bakal ada beberapa kerusi panas, terutama dalam konteks kerusi majoriti kaum Iban kira-kira dua hingga tiga kerusi,” katanya.