PRN Sarawak: Menang 29 kerusi tanpa bertanding, GPS masuk gelanggang dengan kelebihan

KUCHING - Proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 yang berakhir hari ini menyaksikan hanya 139 calon bakal mengharungi tempoh 14 hari berkempen untuk merebut 53 daripada keseluruhan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala 29 kerusi lagi dimenangi Gabungan Parti Sarawak (GPS) tanpa bertanding.

Keputusan itu memberikan kelebihan awal kepada GPS yang kini memasuki gelanggang PRN dengan lebih satu pertiga kerusi DUN dalam genggaman, hanya memerlukan 13 lagi kerusi untuk memperoleh majoriti mudah dan 26 kerusi untuk mencapai majoriti dua pertiga bagi membentuk kerajaan negeri.

Kemenangan tanpa bertanding di 29 kerusi itu turut melakar sejarah sebagai jumlah tertinggi dalam sejarah PRN Sarawak setakat ini, mengatasi rekod 19 kerusi pada 1996.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, sebanyak 168 individu disahkan pencalonan mereka selepas proses penamaan calon di 82 pusat penamaan calon di seluruh negeri ditutup pada 10 pagi tadi.

Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta dua Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas, antara yang diisytiharkan menang tanpa bertanding, masing-masing mengekalkan kerusi DUN Gedong, DUN Bukit Sari dan DUN Bukit Saban.

Turut mencatat kejayaan dalam penampilan sulung pada PRN kali ini ialah empat daripada 11 muka baharu GPS, iaitu Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim (Muara Tuang), Yussuf Chik (Simunjan), Awg Nashfarini Awg Sarbini (Beting Maro) dan Nurfatin Syafawati Tahamat (Bekenu).

Landskap persaingan PRN kali ini memperlihatkan perubahan ketara berbanding PRN 2021, apabila jumlah calon berkurangan lebih separuh daripada 349 kepada 168 orang, manakala selepas proses penamaan calon, hanya 53 kerusi DUN menyaksikan pertandingan berbanding kesemua 82 kerusi pada PRN terdahulu.

GPS kekal sebagai satu-satunya gabungan politik yang mengemukakan calon di kesemua 82 kerusi DUN, diikuti Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dengan 29 calon, Parti Bumi Kenyalang (PBK) (17), DAP (14), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (3), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) satu, selain 22 calon bebas.

PRN kali ini turut menyaksikan ketiadaan beberapa parti dan gabungan politik nasional termasuk Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah), yang sebelum ini mengumumkan tidak akan bertanding.

Daripada 53 kerusi yang akan meneruskan pertandingan, lebih separuh atau 29 kerusi menyaksikan pertandingan satu lawan satu, manakala 15 kerusi melibatkan saingan tiga penjuru dan sembilan lagi empat penjuru.

Pada PRN 2021, GPS memperoleh majoriti dua pertiga selepas memenangi 76 daripada keseluruhan 82 kerusi.

Dari segi demografi, barisan calon PRN kali ini didominasi golongan berusia 60 tahun ke atas yang membentuk lebih separuh daripada keseluruhan calon, iaitu 88 orang, berbanding hanya tiga calon berusia bawah 30 tahun.

Calon berusia antara 50 hingga 59 tahun pula berjumlah 47 orang, diikuti 40 hingga 49 tahun (18) dan 30 hingga 39 tahun (12).

Tumpuan kini beralih kepada persaingan yang berbaki 53 kerusi DUN, dengan beberapa kawasan menyaksikan pertembungan antara pemimpin utama parti politik serta penyandang dan bekas penyandang kerusi.

Antaranya ialah DUN Kakus yang menyaksikan pertembungan dua presiden parti politik, iaitu Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri John Sikie Tayai yang bertanding atas tiket GPS dan Presiden PBDS Dr John Brian Anthony.

Persaingan di DUN Pelagus turut menjadi perhatian apabila Presiden PBM yang juga Ahli Parlimen Julau Datuk Larry Sng Wei Shien mencabar calon GPS Cerisologo Sabut.

DUN Krian dan Batu Lintang pula antara sembilan kerusi yang menyaksikan pertandingan empat penjuru, manakala Pending, Kota Sentosa dan Pelawan melibatkan persaingan tiga penjuru.

Kerusi lain yang menjadi tumpuan termasuk Bawang Assan dan Tanjung Batu yang masing-masing menyaksikan pertandingan satu lawan satu.

Sementara itu, kemenangan tanpa bertanding di 29 kerusi menyaksikan 632,149 pemilih atau 30.71 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar di Sarawak tidak perlu keluar mengundi pada PRN kali ini.

Perkembangan itu menjadikan hanya 1,426,632 daripada keseluruhan 2,058,781 pemilih berdaftar di negeri itu terlibat dalam proses pengundian.

Berdasarkan statistik SPR, daftar pemilih PRN Sarawak ke-13 merangkumi 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera dan pasangan serta 10,833 anggota polis dan pasangan.

SPR menetapkan 8 Disember sebagai hari pengundian awal, manakala hari pengundian pada 12 Disember. - Bernama