PRN Sarawak: Dua Timbalan Premier menang tanpa bertanding

KUCHING - Dua Timbalan Premier menang tanpa bertanding selepas tamat proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 hari ini.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan diumumkan menang tanpa bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya di pusat penamaan calon di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Daerah Lawas.

Seorang lagi Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas mempertahankan kerusi DUN Bukit Saban tanpa bertanding selepas tiada calon lain menghantar borang pencalonan.

Sementara itu, Timbalan Premier merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berdepan cabaran calon DAP Sim Kiat Leng bagi kerusi DUN Batu Kawah.

Proses penyerahan kertas penamaan calon berlangsung selama sejam bermula 9 pagi hingga 10 pagi sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan senarai rasmi calon yang layak bertanding.

Sebanyak 82 pusat penamaan calon dibuka di seluruh negeri bagi melancarkan proses berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 8 Dis manakala hari pengundian berlangsung pada 12 Disember.

Berdasarkan statistik SPR, sebanyak 2,058,781 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini terdiri daripada 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera dan pasangan serta 10,833 anggota polis dan pasangan. - Bernama