Tak tanding PRN Sarawak demi PRU16?

KEPUTUSAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyusuli Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dilihat mempunyai kaitan dengan percaturan politik lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Selain memperlihatkan realiti dominasi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sukar dicabar parti-parti dari Semenanjung, keputusan itu turut menimbulkan persoalan sama ada kepentingan menjaga hubungan dengan GPS kini mengatasi keperluan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam landskap politik yang menyaksikan sokongan GPS penting dalam menentukan pembentukan Kerajaan Persekutuan, keputusan tidak bertanding itu mungkin mempunyai implikasi politik yang jauh melangkaui Sarawak.

PKR Sarawak pada Selasa mengumumkan keputusan tidak bertanding sebagai tanda menghormati semangat kerjasama dan muafakat politik dengan GPS dalam Kerajaan Perpaduan.

Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama Penasihat PKR Sarawak, Datuk Seri Hafsah Harun; Naib Presiden PKR, Roland Engan dan Pengerusi PKR Sarawak, Mahmud Epah.

“Pertimbangan utama yang mendasari pendirian ini adalah sebagai tanda menghormati semangat kerjasama, muafakat dan komitmen politik dalam Kerajaan Perpaduan bagi memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Keputusan ini juga bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta memastikan agenda pembangunan, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sarawak terus diberikan perhatian,” menurut kenyataan itu.

PKR Sarawak turut mengarahkan seluruh jentera dan pimpinan parti di semua peringkat supaya mematuhi ketetapan berkenaan serta menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan komponen Kerajaan Perpaduan khususnya GPS.

Keputusan itu menjadikan DAP satu-satunya parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang bertanding pada PRN Sarawak dengan meletakkan calon di 12 kerusi.

Kepentingan lebih besar

Penganalisis politik, Datuk Dr Jeniri Amir ketika dihubungi Sinar Harian sebelum pengumuman Amanah dan PKR itu berpandangan, keputusan BN dan Pas untuk tidak bertanding perlu dilihat dari sudut kekuatan politik masing-masing di Sarawak serta kepentingan menjaga hubungan dengan GPS menjelang PRU16.

Menurutnya, BN kehilangan asas kekuatan politiknya di Sarawak selepas empat parti komponen negeri itu keluar daripada gabungan berkenaan pada 2018 untuk membentuk GPS.

Keadaan itu menyebabkan BN tidak lagi mempunyai jaringan dan jentera akar umbi mencukupi untuk bertanding secara berkesan di negeri berkenaan.

“Bagi Pas pula, saya melihat keputusan itu dibuat berdasarkan pengalaman panjang parti berkenaan yang gagal memenangi sebarang kerusi sejak mula menyertai PRN Sarawak pada 2001.

“Jadi, adalah lebih baik Pas tidak membazirkan masa, tenaga, sumber dan wang untuk bertanding di kawasan yang sukar dimenangi,” katanya.

Dalam PRN Sarawak pada 2001, Pas meletakkan tiga calon sebelum bertanding satu kerusi pada 2006, lima kerusi pada 2011 dan 11 kerusi pada 2016.

Jumlah itu dikurangkan kepada satu kerusi sahaja iaitu Beting Maro pada PRN 2021, namun calonnya tewas kepada GPS dengan majoriti 1,711 undi.

BN pula kali terakhir meletakkan calon pada PRN Sarawak 2016 sebelum mengambil keputusan tidak bertanding pada 2021 dan memberikan sokongan kepada GPS.

Bagaimanapun, Jeniri tidak menolak kemungkinan keputusan tersebut turut didorong kepentingan politik lebih besar di peringkat Persekutuan, khususnya keperluan mendapatkan sokongan GPS dalam pembentukan kerajaan selepas PRU16.

“Lebih baik untuk tidak bertanding sekarang demi kepentingan yang lebih besar nanti dalam PRU, ketika mereka ingin membentuk kerajaan.

“Selain itu, mungkin keputusan BN mempunyai kaitan dengan kedudukan GPS sebagai rakan dalam Kerajaan Persekutuan, sebagai sebahagian daripada usaha menghormati hubungan politik sedia ada,” ujarnya.

**media[3722370]**

Sokongan GPS

Malah, sebelum PKR mengumumkan keputusan tidak bertanding, Jeniri turut berpandangan pertimbangan politik sama sepatutnya diambil kira oleh parti berkenaan.

Menurutnya, kepentingan mendapatkan sokongan GPS bagi membentuk Kerajaan Persekutuan kelak sepatutnya menjadi pertimbangan lebih besar berbanding menyertai persaingan di Sarawak.

“Apakah yang lebih penting bagi PKR, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim? Apa yang lebih penting adalah untuk mendapat sokongan daripada GPS ketika pembentukan kerajaan selepas PRU nanti.

“Lebih baik tidak bertanding supaya tidak melukakan perasaan GPS. Sebaliknya, sokongan untuk PRU akan datang, untuk membentuk Kabinet dan kerajaan nanti lebih penting,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berpandangan kerjasama politik di peringkat Persekutuan sukar bertahan sekiranya parti-parti yang menganggotai kerajaan bertembung sesama sendiri dalam pilihan raya negeri.

Bercakap dalam podcast yang dikendalikan penasihat politik Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Anthony menekankan kepentingan kerjasama politik yang mampu merentasi peringkat negeri dan Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas secara khusus mengenai pertembungan DAP dengan GPS pada PRN Sarawak kali ini.

Sementara itu, Jeniri berkata, dominasi GPS bukan sahaja bersandarkan kekuatan jentera parti, malah turut dipengaruhi pelbagai inisiatif pembangunan dilaksanakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Keadaan itu, katanya, memperlihatkan bahawa autonomi dan kekuatan parti tempatan menjadi antara faktor penting dalam menentukan corak sokongan politik di Sarawak.

PRN Sarawak dijadualkan berlangsung pada 12 Disember depan dengan 82 kerusi DUN dipertandingkan.