Kedah dijangka guna formula PRN Melaka - Sanusi

KULIM - Perikatan Nasional (PN) dijangka menggunakan formula pembahagian kerusi seperti dipersetujui pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi penyelarasan kerusi di Kedah.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, formula terbaharu itu dilihat paling sesuai diguna pakai di negeri ini, selain Terengganu dan Kelantan.

Menteri Besar Kedah itu berkata, persetujuan kedua-dua pihak terhadap formula berkenaan perlu dicapai sebelum rundingan pembahagian kerusi dilakukan.

"Secara prinsipnya, kita guna formula Melaka yang terkini, paling sesuai di Kedah, Terengganu dan Kelantan.

"Bila diterima di sana, di sini pun kena terima kedua-dua pihak. Selepas itu, berundinglah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 Peringkat Negeri Kedah di Taman Tasik Putra di sini pada Ahad.

Mengulas kemungkinan PN meletakkan calon pada PRN Sarawak, beliau berkata, tiada keperluan berbuat demikian berikutan faktor logistik serta kesukaran memenangi pilihan raya di negeri berkenaan.

Sebaliknya, beliau berpandangan usaha dakwah dan kebajikan perlu diberikan keutamaan di Sarawak.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi memaklumkan anak perempuannya masih menjalani rawatan susulan walaupun sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas terlibat dalam kemalangan pada 12 November lalu.

"Masih kena rawatan susulan. Pakai pendakap tulang belakang, di tangan, lepas itu hari ini buka jahitan dalam mulut sebab luka.

"Kena buat rawatan gigi juga, jururawat datang seminggu tiga kali untuk cuci luka," jelasnya.