'Sesama adik-beradik berpeluklah' - Ahmad Zahid nasihat Tian Soon, Akmal Saleh

KUALA LUMPUR - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh supaya menghentikan perbalahan berhubung cadangan mengembalikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ahmad Zahid berkata, pertelingkahan antara kedua-dua pemimpin muda parti komponen BN itu disifatkan sebagai salah faham yang perlu diselesaikan secara kekeluargaan.

"Kita semua adik-beradik berpeluklah, kalau boleh cium mulutlah (dalam nada gurau). Kita tahu ini hanyalah salah faham.

"Saya hormat Ketua Pemuda MCA dan Ketua Pemuda UMNO," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung MCA ke-4 di Dewan San Choon Wisma MCA di sini pada Ahad.

Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MCA; Datuk Dr Mah Hang Soon; Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Turut hadir, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Setiausaha Agung Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk K Santhra Segaran; bekas Presiden MCA serta perwakilan dari seluruh negara.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, isu sebegitu tidak sepatutnya menjadi polemik di media sosial.

Sebelum ini, Pemuda MCA dilapor mencadangkan kerajaan mengembalikan pilihan raya PBT bermula di Wilayah Persekutuan.

Tian Soon berkata, cadangan itu antara lapan resolusi yang dikemukakan pada Perhimpunan Agung Pemuda MCA 2026.

Susulan itu, Dr Muhamad Akmal menerusi hantaran di Facebook membantah cadangan tersebut sambil menegaskan bahawa pendirian Pemuda MCA tidak mewakili Pemuda BN mahupun Pemuda UMNO.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu kemudiannya mencadangkan agar MCA bertanding di kawasan bandar sahaja manakala kawasan yang didiami majoriti Melayu diserahkan kepada parti komponen lain.

Sementara itu, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Jeremy Ang menggesa Pemuda MCA mengecam kenyataan Dr Muhamad Akmal berhubung isu berkenaan.

Beliau berpandangan, kenyataan Dr Muhamad Akmal mengetepikan keperluan penyertaan politik golongan pertengahan Melayu di bandar serta pengundi pelbagai kaum.