Anthony Loke serah kepada PM status peletakan jawatan

HAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, mengesahkan beliau telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, namun status penerimaan peletakan jawatan tersebut perlu dirujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, setakat ini masih belum ada pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan perkara berkenaan.

"Anda perlu bertanya kepada Perdana Menteri. Bagi saya, saya sudah meletakkan jawatan," katanya ketika ditemui selepas Konvensyen Tahunan DAP Negeri Selangor di sini pada Ahad.

Turut hadir ialah Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, dan Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada masih memegang jawatan Menteri Pengangkutan dari sudut teknikal berikutan peletakan jawatannya yang masih belum diputuskan.

Anthony sebelum ini mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri pada 28 September lalu susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Bagaimanapun, beliau ketika itu bersetuju meneruskan tugas sebagai Menteri Pengangkutan buat sementara waktu atas permintaan Anwar, dengan peletakan jawatan hanya berkuat kuasa apabila Najib mula menjalani hukuman berkenaan di rumah.

Pada 10 November lalu, Anthony mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International di bawah tahanan rumah.

Bagaimanapun, Anwar pada 12 November lalu mengesahkan beliau telah menerima surat peletakan jawatan itu, namun masih belum membuat keputusan mengenainya kerana mahu mengadakan perbincangan lanjut dengan Anthony.

Perdana Menteri turut menyifatkan Anthony sebagai seorang menteri yang amanah dan komited dalam melaksanakan tanggungjawabnya di Kementerian Pengangkutan.