KOTA TINGGI – Pengalaman menjalinkan kerjasama politik di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka menjadi antara asas yang boleh dimanfaatkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam merangka kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketiga-tiga negeri berkenaan mempunyai pendekatan berbeza dalam membentuk hubungan politik, sekali gus membuktikan rundingan boleh dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama.
Menurutnya, pengalaman itu boleh dijadikan rujukan dalam menangani sebarang cabaran atau perbezaan pandangan yang mungkin timbul sepanjang rundingan antara kedua-dua gabungan.
“Di Johor mereka bersetuju untuk bertanding hanya beberapa kerusi. Di Negeri Sembilan persefahaman, manakala di Melaka kerjasama.
“Jadi semua itu kita akan bincang. Saya percaya apa saja isu ataupun cabaran, masalah atau ketidakpersetujuan tentunya akan diambil kira dalam lingkungan matlamat yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Apresiasi Tabika Kemas Parlimen Kota Tinggi di Desaru pada Ahad.
Mengulas kenyataan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menegaskan rundingan dengan BN perlu berlandaskan prinsip kesetaraan tanpa mana-mana pihak menjadi ‘Abang Long’, Khaled berkata, setiap pihak mempunyai pandangan masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, matlamat besar yang mahu dicapai bersama perlu menjadi landasan kepada perbincangan bagi memastikan rundingan dapat mencapai persetujuan.
“Setiap pilihan raya ada cabaran dan setiap parti mahu menang. Setiap parti terutamanya UMNO tahu bahawa bersendirian tidak mungkin boleh membawa kepada kemenangan.
“Jadi bersandarkan kepada perimeter itu kita akan duduk berbincang. Saya masuk dengan pendekatan positif,” katanya.