PRN Melaka: Dari simulasi ke realiti, tiga sahabat teruja mengundi kali pertama

HANG TUAH JAYA - Pengalaman mengikuti simulasi pilihan raya di Tingkatan Enam memberi kelebihan kepada tiga sahabat berusia 19 tahun yang pertama kali menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 kali ini.

Nur Alya Nabila Shamsudin, Nursaibah Saiful Marsita dan Nurin Batrisyia Padzir tiba sekitar jam 8.30 pagi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Dato' Demang Hussin, Bukit Katil di sini.

Nursaibah berkata, mereka teruja dan bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat.

"Semalam kami semak pusat mengundi dan merancang bersama untuk hadir awal pagi untuk merasai pengalaman sebenar mengundi pertama kali.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Melaka: 240 pusat mengundi dibuka serentak jam 8 pagi

PRN Melaka: Warga emas tidak lena tidur teruja mahu raikan pesta demokrasi

PRN Melaka: Selesai mengundi, Ab Rauf ingatkan pengundi jangan tunggu petang

PRN Melaka: Selepas 14 tahun, empat beranak asal Kelantan pertama kali undi di Melaka

PRN Melaka: Diserang strok ketika memandu, Syamsinar tetap gigih mengundi

PRN Melaka: Bergegas mengundi, apron berniaga pun tak sempat ditanggalkan

"Sebelum ini kami hanya menjalani simulasi di sekolah, jadi tidak kekok kami mengundi hari ini dan prosesnya berjalan lancar," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Mengenai pemilihan, Nursaibah berkata, aspek kepimpinan dan sumbangan seseorang calon kepada masyarakat setempat menjadi antara pertimbangan utama.

Katanya, mereka turut mengikuti perkembangan kempen menerusi media sosial.

"Apabila lihat video kempen media sosial memberikan pengalaman menarik dalam memahami suasana pilihan raya.

"Harap kawan-kawan lain dapat turun awal untuk mengundi, jangan datang di saat akhir," katanya lagi.

Statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan sebanyak 12.96 peratus mewakili 120,162 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka di 240 pusat mengundi seluruh negeri setakat jam 10 pagi.