'Kalau bukan Islam amanah dan adil, mengapa dinafikan kebaikannya kerana agama?' - Tengku Zafrul

SHAH ALAM - Kezaliman tidak boleh dinilai berdasarkan agama seseorang, sebaliknya setiap perbuatan salah termasuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penindasan rakyat perlu ditolak tanpa mengira latar belakang agama pelakunya.

Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, agama Islam sendiri mengajar umatnya supaya berlaku adil kepada semua pihak tanpa membezakan agama.

Beliau secara peribadi menyatakan ketidaksetujuannya terhadap dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa sejahat-jahat orang Islam yang memerintah tidak akan sezalim orang bukan Islam.

"Jika seorang Muslim menyalahgunakan kuasa, melakukan rasuah atau menindas rakyat, adakah kesalahannya menjadi lebih ringan hanya kerana dia seorang Muslim? Sudah tentu tidak.

"Kalau seorang bukan Islam menjalankan amanah dengan jujur dan adil, mengapa kita mahu menafikan kebaikannya semata-mata kerana agamanya?

"Islam tidak pernah mengajar kita untuk membenarkan kezaliman yang dilakukan orang Islam atau menghukum orang lain berdasarkan agama mereka," katanya menerusi hantaran video dimuat naik di Facebook pada Sabtu.

Khamis lalu, Abdul Hadi ketika berucap pada Grand Finale Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (BN-PN) sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Bukit Katil mendakwa 'sejahat-jahat orang Islam yang memerintah tidak akan sezalim orang bukan Islam'.

Kenyataan sensitif itu mengundang amarah dalam kalangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP termasuk masyarakat berbilang kaum serta agama di negara ini.

Bagaimanapun, Abdul Hadi menerusi satu kenyataan balas berkata, pihaknya kesal dengan laporan sebuah portal tempatan yang didakwa memetik ucapannya di luar konteks sebenar sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, ucapan berkenaan bertujuan menjelaskan bahawa politik dalam Islam berlandaskan pertimbangan dosa dan pahala yang membawa kepada pemerintahan adil serta menjamin hak masyarakat bukan Islam.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul yang juga bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berpandangan, Malaysia dibina oleh rakyat pelbagai kaum dan agama yang hidup, bekerja serta menyumbang bersama-sama.

Pada hemat beliau, perbezaan agama tidak sepatutnya menjadi alasan untuk sesiapa sahaja merendah-rendahkan sesama sendiri.

"Jangan jadikan agama sebagai alasan untuk mempertahankan kezaliman. Yang salah tetap salah, walaupun dilakukan oleh orang seagama dengan kita," ujarnya.