PRN Melaka: PH sasar 75 peratus keluar mengundi, rayu pengundi luar pulang

HANG TUAH JAYA - Pakatan Harapan (PH) menyasarkan sekitar 75 peratus pengundi akan keluar menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada Sabtu.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, sasaran itu berdasarkan rekod kadar keluar mengundi di beberapa kawasan pilihan raya di negeri berkenaan yang pernah melebihi 80 peratus.

Menurut beliau, sekitar 30 peratus daripada keseluruhan pengundi di Melaka merupakan pengundi luar yang menetap di Lembah Klang dan negeri-negeri lain.

"Jadi, kita harap para pengundi cakna tentang masa, lokasi mengundi selain menyemak pusat serta saluran mengundi masing-masing dan merancang perjalanan pulang.

"Saya melihat ada komitmen dalam kalangan pengundi yang sanggup pulang dari jauh, termasuk luar negara seperti New Zealand dan Perancis untuk menunaikan tanggungjawab mereka," katanya dalam sidang media harian di Bilik Gerakan Utama di sini pada Jumaat.

Adly berkata, kesanggupan pengundi pulang dari luar negara itu mencerminkan rasa tanggungjawab mereka terhadap negeri itu.

"Kalau dibandingkan dengan satu undi dan tiada siapa yang sanggup balik dari jauh tetapi itu amat kita dihargai.

"Tanggungjawab mengundi bukan sekadar menentukan pihak yang menang atau kalah tetapi kecintaan dan masa depan rumah kita iaitu Melaka," katanya.

Mengulas menjelang hari pengundian, Adly meminta pengundi memberikan sokongan kepada calon gabungan itu yang bertanding di kesemua 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"PH telah menyampaikan aspirasi kita dan pencapaian yang dilaksanakan jadi, kita serah kepada rakyat.

"Undi PH bagi memberi peluang kepada wakil rakyat yang progresif dan berkemampuan di kawasan yang mereka wakili," katanya.