BN tawar 25,000 rumah mampu milik, ambulans percuma

HANG TUAH JAYA – Tawaran membina 25,000 rumah mampu milik serta menyediakan kemudahan ambulans dan rawatan dialisis percuma antara inisiatif Barisan Nasional (BN) yang disifatkan mampu memberi manfaat besar kepada rakyat Melaka, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood berkata, manifesto yang menggariskan 113 inisiatif menerusi enam teras utama itu dilihat memberi tumpuan kepada keperluan sebenar rakyat, termasuk pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan.

Menurut beliau, kelebihan tawaran BN ialah setiap inisiatif disertakan garis masa pelaksanaan sama ada dalam tempoh 100 hari, setahun atau lima tahun, sekali gus membolehkan rakyat menilai komitmen dan prestasi kerajaan sekiranya BN diberikan mandat.

"Pada saya, kalau benar-benar komited, kita tidak akan takut untuk meletakkan garis masa bagi setiap janji yang dibuat.

"Rakyat boleh melihat sendiri prestasi kerajaan berdasarkan tempoh yang ditetapkan dan bukan sekadar menerima janji kosong," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Naib Ketua Wanita UMNO bahagian itu berkata, tawaran 25,000 rumah mampu milik amat signifikan memandangkan Melaka terus berkembang sebagai negeri pembangunan dan menjadi tumpuan mereka yang bekerja serta membina kehidupan di sini.

Mengulas keperluan penduduk Pengkalan Batu, beliau berkata, masalah banjir kilat akibat sistem saliran yang kurang memuaskan antara isu setempat yang perlu diberikan perhatian.

"Pengkalan Batu sudah mempunyai kemudahan asas yang agak baik kerana lokasinya berhampiran bandar.

"Saya mahu memastikan apa yang sudah ada terus dipelihara, selain menjadikan kawasan ini lebih bersih, indah dan harmoni," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, golongan muda yang dianggarkan membentuk kira-kira 45 peratus penduduk Pengkalan Batu perlu diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan serta terlibat dalam perancangan pembangunan kawasan.

Bagaimanapun, beliau yakin pendekatan mendekati rakyat secara bersemuka mampu membantu menyampaikan tawaran parti dan memberi peluang kepada pengundi membuat pilihan berdasarkan maklumat yang tepat.

**media[3708609]**

“Manifesto BN kali ini lebih fokus dan menyeluruh kerana merangkumi pelbagai keperluan rakyat, khususnya golongan B40. Antaranya sumbangan kepada pasangan baharuberkahwin dan program baik pulih rumah yang boleh memberi keselesaan kepada golongan memerlukan." - Penduduk, Firda Ayu Mohd Zubir, 57.