TANGGA BATU – Daripada dunia pembrokeran ekuiti kepada pentadbiran kerajaan, Datuk Azman Abidin mempunyai pengalaman dalam pelbagai bidang sebelum memilih untuk membawa langkah lebih jauh ke gelanggang politik negeri sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
Berusia 54 tahun, Azman yang kini berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 2023, berdepan cabaran baharu apabila membawa pengalaman dari Putrajaya untuk meraih kepercayaan pengundi di kawasan berkenaan.
Pengalaman dalam pentadbiran politik beliau bermula apabila dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari 2012 hingga 2014.
**media[3707719]**
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan dari 2018 hingga 2020 sebelum menyandang jawatan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri pada 2023 sehingga kini.
Selain kerjaya profesional dan politik, Azman turut aktif dalam pembangunan komuniti menerusi beberapa organisasi.
Sejak 2024, beliau memegang jawatan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kuala Lumpur manakala sejak 2015 berkhidmat sebagai Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Wilayah Persekutuan.
Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak dari 2009 hingga 2023.
Kini, pengalaman yang dikumpulkan itu menjadi bekalan untuk menghadapi cabaran baharu dalam usaha mendapatkan mandat penduduk Paya Rumput, sekali gus membuktikan kemampuan melaksanakan amanah sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.
Memasuki dua hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Azman berkata, beliau mahu meningkatkan usaha bertemu lebih ramai penduduk selain memastikan jentera pilihan raya berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik.
Menurutnya, tempoh berkenaan amat penting kerana kerja keras pada saat akhir mampu menjadi penentu kemenangan.
**media[3707721]**
“Alhamdulillah, kempen berjalan dengan baik. Dalam tempoh dua hari terakhir ini saya lihat kerja kuat jadi penentu.
“Kita perlu berjumpa lebih ramai orang. Saya juga nak pastikan kesiapsiagaan jentera pilihan raya bersedia kerana dua hari ini adalah tempoh paling penting yang boleh menentukan kemenangan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Azman, sepanjang dua minggu berkempen, rata-rata penduduk Paya Rumput dilihat meletakkan harapan terhadap kemampuannya membawa sesuatu kepada kawasan itu.
Katanya, beliau menyedari amanah besar yang perlu dipikul sekiranya diberikan kepercayaan oleh pengundi pada 14 November ini.
“Ramai penduduk Paya Rumput melihat dan meletakkan satu harapan bahawa saya, calon daripada Putrajaya ini, boleh buat sesuatu untuk Paya Rumput.
“Saya tahu amanah besar yang menanti. Saya yakin, insya-ALLAH pada 14 November ini, dengan izin ALLAH SWT beri kemenangan kepada saya, mendapat kepercayaan daripada orang Paya Rumput,” jelasnya.
Ditanya penerimaan masyarakat sepanjang kempen, Azman berkata, penduduk menunjukkan keterbukaan untuk mengenali serta mendengar perkara yang dibawanya.
“Mereka juga seperti mengharapkan sesuatu yang saya boleh lakukan di sini. Insya-ALLAH, saya cuba buat yang terbaik jika diberikan kepercayaan,” ujar beliau.