Pecutan akhir kempen, calon dan jentera perlu gandakan usaha - Tengku Zafrul

TANGGA BATU – Tempoh dua hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dimanfaatkan semua calon dan jentera parti untuk menggandakan usaha mendekati pengundi serta memastikan momentum sokongan menjelang hari pengundian.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, semua pihak perlu memanfaatkan tempoh pecutan terakhir itu dengan terus turun padang dan bekerja keras sehingga tamat kempen.

Menurutnya, hasil tinjauan di lapangan khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput menunjukkan petanda positif.

“Ini adalah pecutan terakhir untuk dua, tiga hari ini. Apa yang penting ialah calon-calon seperti Tok Man turun padang.

“Saya dapat lihat daripada laporan yang diterima setakat ini. Alhamdulillah di kawasan Paya Rumput contohnya, memang positif.

“Penerimaannya itu yang penting tetapi kita kena teruskan momentum ini hingga ke akhir sekali, terus kerja keras berjumpa pengundi seramai mungkin,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Paya Rumput, Datuk Azman Abidin atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Man turun padang menyantuni pengundi.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kejayaan kempen turut bergantung kepada kerjasama seluruh jentera parti dan bukan hanya usaha seseorang calon.

Jelasnya, gerak kerja secara bersama penting bagi memastikan pendekatan mendekati pengundi dapat diteruskan sehingga hari terakhir kempen.

Beliau turut berkongsi maklum balas positif penduduk setempat yang ditemuinya, termasuk harapan mereka terhadap Tok Man yang disifatkan mudah didekati dan sering mendampingi rakyat.

“Saya secara peribadi mengenali beliau sebagai seorang yang kuat bekerja.

"Saya yakin 'attitude' dan 'passion' yang sama akan dibawa ke Paya Rumput,” katanya yang juga Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri.