MELAKA - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin kemelut yang melanda Negeri Sembilan ketika ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Presiden UMNO itu berkata, penyelesaian tersebut diharapkan dapat dicapai menerusi semangat kebersamaan dalam kalangan pihak berkaitan, yang sebelum ini turut membolehkan pembentukan kerajaan negeri berkenaan.
"Saya yakin apa pun permasalahan yang sedang melanda kita di Negeri Sembilan, kita berdoa telah sampai ke penghujungnya... Insya-ALLAH, masalah di Negeri Sembilan akan terselesai dalam waktu yang terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah Grand Finale Perikatan Nasional (PN) dan BN di sini pada Rabu.
Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Ahmad Zahid berkata, segala permasalahan yang berlaku di Negeri Sembilan juga perlu dijadikan iktibar dan panduan bagi mengelakkan perkara sama berulang pada masa hadapan.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau berkata, usaha menyelesaikan kemelut tersebut sedang dilaksanakan bersama dengan kepimpinan UMNO Pusat dan Negeri Sembilan serta Menteri Besar Datuk Ismail Lasim atas dasar mengutamakan kepentingan rakyat.
Beliau berkata, hal ini kerana pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan memerlukan perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi membolehkan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan diadakan.
"Adalah mustahil sidang belanjawan ini dapat dilakukan jika tidak mendapat perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
"Maka, kami amat yakin Tuanku juga mempunyai pertimbangan tinggi untuk memperkenankan supaya sidang khas belanjawan ini dapat diadakan dalam bulan ini juga, Insya-ALLAH," katanya.
Mengulas mengenai kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada, Ahmad Zahid berharap persidangan DUN Negeri Sembilan dan kelulusan belanjawan kelak membolehkan urusan pentadbiran negeri dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak.
"Saya yakin bahawa jika kita mencari jalan penyelesaian maka kita akan bertemu dengan titik pertemuan dan kebersamaan untuk kita menjadikan Negeri Sembilan ditadbir dengan baik," katanya.
Pada Ahad lepas, Ismail berkata, DUN Negeri Sembilan tidak akan dibiarkan terbubar sebaliknya persidangan akan diusahakan supaya dapat berlangsung mengikut jadual yang dirancang.
Sebelum ini, kerajaan negeri merancang untuk mengadakan persidangan DUN bermula 26 November diikuti pembentangan Belanjawan Negeri 2027 pada 27 November. - Bernama